Pengkhianat

1245429579099

Ha Jin

Encik Chiu dan isteri sedang menikmati makan tengahari di sebuah dataran berdekatan dengan Stesyen Kereta Api Muji. Di atas meja mereka terdapat dua botol soda yang memuntahkan busa berwarna perang, dua kotak kertas berisi nasi, daging babi dan timun masak tumis. “Jom makan,” ajak Encik Chiu, sambil meleraikan penyepitnya. Dia mengambil sejalur daging babi dan memasukkan ke dalam mulut. Sambil mengunyah, sedikit kedutan jelas kelihatan pada rahang nipisnya.

Di sebelah kanannya, dua pegawai polis kereta api sedang minum teh sambil bergelak ketawa; kelihatan lelaki pertengahan usia dan berbadan gempal sedang menceritakan lawak jenaka kepada kawannya yang lebih muda, tinggi dan berbadan sasa. Sesekali mereka mencuri pandang ke arahnya.

Aroma tembikai busuk memenuhi ruang udara. Sekumpulan lalat menghurung makanan pasangan tersebut. Ratusan manusia bergegas ke sana ke mari menuju ke platform atau untuk menaiki bas ke pusat bandar. Penjaja buah dan sayur-sayuran menjerit memanggil para pelangan dengan nada yang tidak bersemangat. Belasan gadis muda, mewakili hotel-hotel tempatan, memegang pelekat yang terpampang harga harian dengan perkataan sebesar telapak tangan, seperti Makanan Percuma, Penghawa Dingin, dan Di Atas Sungai. Di tengah-tengah dataran berdiri megah tugu konkrit Pengerusi Mao, di mana petani-petani sedang tidur, sambil berbaring di atas granit hangat dan muka mereka mengadap langit nan cerah. Kawanan burung merpati elok bertenggek di atas lengan dan tangan Pengerusi.

Rasa nasi dan timun tersebut sangat enak, dan Encik Chiu makan dengan gelojoh sekali. Mukanya yang kuning pucat menunjukkan tanda-tanda keletihan. Dia berasa lega bulan madunya telah selesai di mana dia dan isterinya akan pulang ke Harbin. Sepanjang dua minggu percutian, dia merasa bimbang tentang jantungnya, di mana tiga bulan yang lalu dia telah menderita hepatitis yang teruk; dia risau sekiranya penyakit tersebut akan berulang. Tetapi dia tidak mengalami tanda-tanda yang teruk, meskipun jantungnya besar dan tidak kuat.

Umumnya, dia senang tentang kesihatannya, yang masih betah biarpun dengan rintangan bulan madu; sudah tentu, dia sedang dalam proses pemulihan. Dia memandang sang isteri, yang kemudian menanggalkan cermin mata, dan melurut-lurut hidung melalui jarinya. Manik-manik peluh membungkus pipi perempuan tersebut.

“Awak sihat, kekasih?” tanya beliau.

“Saya sakit kepala. Tak tidur lena malam semalam.”

“Tak nak ambil aspirin?”

“Ia tak seserius manapun. Esok hari Ahad dan saya boleh tidur. Jangan awak risau.”

Sedang mereka berjalan, pegawai polis berbadan gempal di meja sebelah berdiri dan mencampakkan semangkuk teh ke arah mereka.Serta-merta, sandal Encik Chiu dan isteri basah.

                “Biadap!” sang isteri bersuara perlahan.

                Encik Chiu bangkit dan bertempik kuat, ”Tuan Pegawai Polis, kenapa buat macam ni?” Dia menghulurkan kaki kanan untuk menunjukkan sandalnya yang basah. “Buat apa?” soal lelaki berbadan gempal yang bersuara serak, merenung Encik Chiu sambil kawannya yang lebih muda bersiul.

                “Lihat, awak telah menumpahkan teh ke atas kaki kami.”

                “Kau penipu. Kau basahkan kasutmu sendiri.”

                “Tuan Pegawai Polis, tugas awak adalah untuk menjaga ketenteraman awam, tapi awak dengan sengaja menindas kami rakyat awam. Kenapa langgar undang-undang yang sepatutnya dikuatkuasakan awak?” Sedang Encik Chiu bercakap, belasan manusia mula berkumpul di sekitarnya.

                Lelaki tersebut melambaikan tangan kepada rakannya sambil berkata, “Mari kita tangkap lelaki ini!”

                Mereka menarik Encik Chiu dan menggari pergelangan tangannya. Dia melawan, “Awak tak boleh buat saya macam ini. Tak munasabah langsung.”

                “Diam!” Lelaki tersebut bawa keluar pistolnya. “Kau boleh bercakap di ibu pejabat kami nanti.”

                Kawannya menambah, “Kau pensabotaj, kau tau tak? Kau menganggu ketenteraman awam.”

                Isterinya terpaku untuk mengatakan apa-apa yang koheren.Dia baru saja bergraduasi dari kolej, major dalam seni halus, dan tidak pernah melihat pihak polis membuat tangkapan. Apa yang dia mampu kata cuma, “Oh, jangan, jangan!”

                Pegawai polis tersebut menarik Encik Chiu, tapi dia menolak untuk pergi bersama mereka, sambil memegang bucu meja dia menjerit, “Kami perlu menaiki kereta api nanti. Kami sudah pun membeli tiket.”

                Lelaki berbadan gempal menumbuk dada Encik Chiu. “Diam. Biarkan saja tiket tu tamat tempoh.” Dia mengetuk tangan Encik Chiu dengan buntut pistol, menyebabkan Encik Chiu lekas menarik tangannya dari meja. Kedua-dua lelaki tersebut membawanya ke balai polis.

                Menyedari yang dia terpaksa pergi bersama mereka, Encik Chiu memalingkan kepala dan menjerit kepada isterinya, “Jangan tunggu aku di sini. Naik kereta api. Kalau aku tak balik esok pagi, hantar seseorang untuk bawa aku keluar.”

                Dia mengangguk, menutup mulutnya yang sedang menangis teresak-esak dengan telapak tangan.

                Setelah mereka menanggalkan tali kasutnya, mereka mengunci Encik Chiu di dalam sebuah sel di belakang Balai Polis Kereta api. Satu-satunya jendela di bilik tersebut dihalang oleh enam bar besi; mengadap ke arah laman yang sangat luas, di mana pohonan pain tegak berdiri. Di belakangnya, dua buah buaian yang diperbuat dari rangka besi elok tergantung, berayun perlahan-lahan dalam pawana. Di suatu sudut dalam bangunan tersebut, sebilah parang sedang mencincang sesuatu mengikut rentak. Tentu ada di dapur di tingkas atas, fikir Encik Chiu.

                Dia terlalu penat untuk merasa risau tentang apa yang akan mereka lakukan kepadanya, lalu berbaring di atas katil sempit dan menutup matanya. Dia tak takut. Revolusi Kebudayaan sudah selesai, dan baru-baru ni Parti telah menyebarkan idea bahawa semua warganegara adalah sama rata di sisi undang-undang. Polis yang patuh kepada undang-undang sepatutnya menjadi model kepada rakyat biasa. Selagi dia kekal tenang dan berunding dengan mereka, mereka berkemungkinan tidak akan mencederakannya.

                Lewat tengahari dia dibawa ke Biro Soal-Siasat di tingkat dua. Dalam perjalanan ke sana, dekat anak tangga, dia terserempak dengan pegawai polis pertengahan usia yang menangkapnya dengan kasar semalam. Lelaki tersebut tersengih, membulatkan mata bonjol dan mengacu jari kepadanya  seolah-olah sedang menembak pistol. Celaka! maki Encik Chiu dalam diam.

                Sebaik sahaja dia duduk di dalam pejabat tersebut, dia sendawa, tapak tangannya menutup mulut. Di hadapannya, berseberang dengan meja panjang, duduk ketua biro dan seorang lelaki berwajah keldai. Di atas lantai kaca terdapat folder yang mengandungi maklumat kesnya. Dia merasa pelik bagaimana dalam masa beberapa jam sahaja mereka berjaya mengumpulkan satu timbunan kecil maklumat tentang dirinya. Macam mana benda ini boleh berlaku? Dia tinggal dan bekerja di Harbin, lebih tiga ratus batu jauhnya, dan ini kali pertama dia berada di Bandar Muji.

                Ketua biro tersebut orangnya kurus, botak, yang kelihatan sentiasa tenang dan bijaksana. Tangan rampingnya membelek-belek muka surat bertulis di dalam folder tersebut lagak seorang sarjana sedang memberi kuliah. Di sebelah kiri Encik Chiu duduk seorang jurutulis muda, dengan papan keratan di atas lutut dan pena hitam di tangan.

                “Nama kau?” tanya ketua, yang jelas kelihatan sedang membaca soalan dari borang.

                “Chiu Maguang.”

                “Umur?”

                “Tiga puluh empat tahun.”

                “Pekerjaan?”

                “Pensyarah.”

                “Tempat?”

                “Universiti Harbin.”

                “Status politik?”

                “Anggota Parti Komunis.”

                Ketua meletakkan catitan dan mula bercakap. “Jenayah kau adalah sabotaj, sekalipun ia tidak menyebabkan kesan yang lebih buruk. Kerana kau adalah seorang anggota Parti, kau patut dihukum lebih teruk. Kau telah gagal untuk menjadi contoh yang baik kepada masyarakat awam dan kau –“

                “Minta maaf, tuan,” potong Encik Chiu.

                “Apa?”

                “Saya tak buat apa-apa pun. Anak buah awak yang telah mensabotaj hidup kami. Mereka mencampakkan teh panas dekat kaki saya dan isteri. Kalau ikut logik, awak sepatutnya mengkritik mereka, kalau pun tidak menghukum.”

                “Kenyataan itu tak berasas. Kau tiada saksi. Kenapa aku harus percayakan kau?” ketua bercakap dengan bersahaja.

                “Ini bukti saya.” Dia menunjukkan tangan kanannya.“Anak buah awak pukul jari saya dengan pistol.”

                “Itu tak membuktikan macam mana kaki kau boleh basah. Lagipun, kau boleh saja cederakan jari kau sendiri.”

                “Tapi saya bercakap benar!” Ada kemarahan yang sedang marak di dalam diri Encik Chiu.“ Awak semua perlu minta maaf dekat saya. Tiket kereta api saya telah tamat tempoh, sandal kulit saya yang baru sudah rosak, dan saya lewat untuk menghadirkan diri ke satu persidangan di ibu kota. Jangan ingat saya ni seperti rakyat biasa yang akan menggigil ketakutan bila anda melakukan ugutan. Saya seorang sarjana, ahli falsafah, dan pakar dalam dialektika materialisme. Kalau perlu, kita akan berbincang tentang hal ini di dalam The Northeastern Daily, atau kita akan pergi ke Mahkamah Tinggi Rakyat di Beijing. Beritahu saya, apa nama awak?” Dia terbawa-bawa dengan amarahnya, yang tentunya remeh-temeh sahaja dan telah memberikan banyak kelebihan kepadanya dalam pelbagai situasi.

                “Berhenti menipu kami,” lelaki berwajah keldai menyampuk. “Kami dah banyak jumpa orang yang macam kamu. Kami dengan senang-lenang boleh membuktikan yang anda bersalah. Di sini ada macam-macam kenyataan yang telah diberikan oleh saksi kejadian.” Dia menolak beberapa helai kertas kepada Encik Chiu.

                Encik Chiu bingung melihat pelbagai jenis tulisan tangan, yang mana semuanya mengatakan dia telah menjerit di dataran untuk menarik perhatian dan menolak untuk mematuhi arahan polis. Salah seorang saksi memperkenalkan dirinya sebagai ejen pembeli dari syarikat limbungan kapal di Shanghai. Ada sesuatu sedang berkocak di perut Encik Chiu, kesakitan menular ke tulang rusuk. Dia mengerang.

                “Sekarang kau perlu mengaku yang kau bersalah,” arah ketua. “Walaupun ia satu jenayah yang cukup serius, kami tak akan hukum kau dengan teruk, kau cuma perlu tulis surat meminta maaf dan berjanji tidak akan mengganggu masyarakat awam lagi. Dalam kata lain, pelepasan diri kau bergantung kepada sikap kau terhadap jenayah ini.”

                “Awak berangan,” Encik Chiu menangis. “Saya tak akan menulis sepatah perkataan pun, sebab saya tak bersalah. Saya tuntut agar anda menyediakan saya surat minta maaf supaya saya boleh terangkan kepada universiti saya mengapa saya lewat.”

                Kedua-dua pegawai soal-siasat senyum sinis. “Kami tak pernah melakukan demikian.” jawab ketua tersebut, sambil menyedut asap rokoknya.

                “Jadi jadikan ini sebagai duluan.”

                “Itu tak perlu. Kami pasti yang anda akan akur pada permintaan kami.” Ketua menghembuskan kepulan asap rokok kepada muka Encik Chiu.

                Sebaik sahaja ketua menyengetkan kepala, dua orang pengawal melangkah ke hadapan dan menarik lengan penjenayah. Encik Chiu berlalu pergi sambil berkata, “Saya akan mengadu kepada Pentadbiran Wilayah. Anda perlu bayar semua ini. Kalian lebih teruk dari polis tentera Jepun.”

                Mereka menariknya keluar dari bilik.

                Usai makan malam, yang terdiri daripada semangkuk bubur sekoi, ban jagung, dan sebatang jeruk lobak putih, Encik Chiu mulai demam, menggigil kesejukan dan berpeluh lencun. Dia tahu jantungnya sakit disebabkan amarahnya tadi dan penyakit lama mungkin akan berulang. Tiada ubatan yang tersedia, oleh kerana beg bimbitnya ditinggalkan bersama isteri. Di rumah, masa-masa beginilah dia sepatutnya sedang berehat di hadapan televisyen warna mereka, minum teh jasmin sambil menonton berita petang. Ianya sangat sunyi di sini. Mentol oren di atas katil tunggal tersebut menjadi satu-satunya sumber pengcahayaan, yang membolehkan pengawal mengawasi dirinya di waktu malam. Sebentar tadi dia meminta izin mereka untuk membaca suratkhabar mahupun majalah, malangnya ditolak mentah-mentah oleh mereka.

                Melalui celahan kecil di pintu, terdengar bunyi bising. Nampak gaya pegawai polis yang bertugas sedang bermain kad atau catur di pejabat berdekatan; jerit dan tawa mereka boleh didengari sentiasa. Sementara itu, akordion dimainkan dari hujung penjuru di dalam bangunan tersebut. Melihat pena dan surat yang ditinggalkan untuknya oleh para pengawal yang membawanya pulang dari Biro Soal-Siasat, Encik Chiu teringat pepatah lama, “Bila seorang sarjana terserempak dengan tentera, makin banyak dia berhujah, makin berlumpur isi-isi hujahnya nanti.” Betapa mengarutnya semua benda ni. Dia menyisir rambut tebalnya dengan jari.

                Dia merasa sengsara, berterusan mengurut perutnya. Yang sebenarnya, dia merasa lebih sedih dari takut, kerana dia terpaksa bergegas menyiapkan kerjanya sebaik sahaja tiba di rumah nanti –  kertas kajian yang sepatutnya dicetak minggu depan, dan dua dozen buku yang dia patut baca sebagai persediaan untuk subjek yang bakal diajarnya pada musim luruh nanti.

                Bayang-bayang manusia terkilas melalui celahan pintu.Encik Chiu bergegas ke pintu dan menjerit melalui lubangnya, “Tuan Pengawal, Tuan Pengawal!”

                “Apa kau nak?” garau suaranya.

                “Saya nak awak beritahu ketua awak yang saya sakit. Saya ada sakit jantung dan hepatitis. Saya boleh mati dekat sini kalau awak terus menahan saya tanpa sebarang ubat.

                “Tiada ketua yang bertugas hujung minggu ni. Kau kena tunggu Isnin nanti.”

                “Apa? Maksud awak saya kena tinggal di sini sampai esok?”

                “Ya.”

                “Awak semua akan dipertanggungjawabkan sekiranya apa-apa terjadi pada saya.”

                “Kami tahu. Rilek saja, kau tak akan mati.”

                Ianya nampak tak masuk akal bila Encik Chiu dapat tidur nyenyak malam itu, biarpun lampu di atas kepalanya menyala sepanjang masa dengan tikar jerami yang keras dan dipenuhi kutu. Dia takut akan sengkenit, nyamuk, lipas – semua jenis serangga kecuali kutu dan pepijat katil. Pernah sekali di hujung desa, sewaktu kakitangan fakulti tempat dia bekerja menolong para petani menuai padi selama seminggu, kawan-kawanya bergurau tentang tubuh badannya, yang mana tentu tak rasa seperti manusia pada kutu-kutu. Selain dari dia, mereka semua habis digigit ratusan kutu.

Apa yang lebih menakjubkan ialah, dia tidak sedikit pun merasa rindu pada isterinya. Sehinggakan dia seronok tidur seorang diri, kemungkinan bulan madu membuatkan dia penat dan dia memerlukan sedikit rehat.

Halaman belakang senyap sunyi pada pagi Ahad. Cahaya matahari pucat memancar melalui dahanan pokok pain. Beberapa ekor burung pipit bermain-main di atas tanah, menangkap ulat beluncas dan kumbang. Sambil memegang jeriji besi, dia menghirup udara pagi, yang berbau daging. Tentu ada restoran atau kedai makan berdekatan. Dia mengingatkan diri sendiri agar mengambil mudah penahanan ini. Ayat yang Pengerusi Mao tulis kepada rakannya yang berada di hospital bermain di kepala: “Memandangkan awak sudah pun berada di sini, elok sahaja awak terus menetap dan lakukan yang terbaik.”

Keinginannya untuk tenangkan fikiran datang dari ketakutan bahawa hepatitis beliau mungkin akan menjadi lebih buruk. Dia cuba untuk tidak ambil kisah. Walau bagaimanapun, dia pasti hatinya sedang membengkak, kerana demamnya masih tidak sembuh. Sepanjang hari dia cuma berbaring di atas katil, berfikir mengenai kertas kerjanya tentang tabie kontradiksi. Kadang-kadang dia rasa marah, lantas menyumpah kuat-kuat, “Sekumpulan penyangak!” Dia bersumpah sebaik sahaja dia keluar nanti, dia akan menulis satu artikel tentang pengalamannya di sini. Dia patut mencari nama-nama pegawai polis tersebut.

Hari tersebut merupakan hari yang sangat aman rupanya, dan dia pasti universiti akan menghantarkan seseorang untuk menyelamatkannya. Apa yang dia perlu lakukan sekarang adalah bertenang dan menunggu dengan sabar. Lambat-laun pihak polis terpaksa melepaskannya, biarpun mereka tidak fikir yang dia berkemungkinan menolak untuk pergi melainkan mereka menulis surat meminta maaf. Celaka punya samseng, mereka buat lebih dari apa yang sepatutnya.

Bila dia bangun pada pagi Isnin, hari sudah siang. Ada suara lelaki mengerang, yang datang dari halaman belakang. Selepas satu nguapan panjang dan tendangan pada selimut yang sudah koyak-rabak, Encik Chiu bangkit dari katil dan menuju ke tingkap. Di tengah perkarangan, seorang anak muda diikat pada pokok pain, lengannya digari dari belakang keliling batang pokok. Dia sedang menggelang-geliut dan menyumpah seranah, tapi tiada tanda-tanda orang lain di situ. Wajahnya nampak macam biasa dilihat pada Encik Chiu.

Encik Chiu mengecilkan mata untuk melihat siapa pemuda tersebut. Mengejutkannya, dia mengenali lelaki tersebut, iaitu Fenjin, seorang graduan segar dari Jabatan Undang-undang di Univeristi Harbin. Dua tahun lepas Encik Chiu mengajar subjek materialisme Marxist, di mana Fenjin turut ikut serta. Sekarang, macam mana budak ini boleh berada di sini?

Terlintas di fikirannya yang kemungkinan Fenjin telah dihantar oleh isterinya. Bodoh punya perempuan! Ulat buku yang hanya tahu membaca novel-novel bahasa asing. Dia ingatkan isterinya akan pergi berjumpa dengan bahagian keselamatan sekolah, yang tentunya akan menghantar kader ke sini. Fenjin tidak memegang sebarang jawatan rasmi; dia cuma bekerja di firma guaman swasta yang baru ada dua orang peguam; hakikatnya, mereka tidak ada banyak urusan kecuali kerja-kerja detektif untuk lelaki dan perempuan yang mengesyaki pasangan mereka mempunyai hubungan luar nikah. Buat seketika, Encik Chiu merasa loya.

Patutkah dia memberitahu anak muridnya yang dia ada berdekatan? Dia mengambil keputusan untuk tidak berbuat demikian, oleh kerana dia sendiri tidak mengetahui apa yang telah terjadi. Fenjin mesti telah bergaduh dengan pihak polis sehinggan menyebabkan dia dihukum. Kendatipun, semua ini tidak akan terjadi sekiranya Fenjin tidak datang menyelamatkannya. Biar apa pun yang terjadi, Encik Chiu harus melakukan sesuatu. Tapi apa yang boleh dia buat?

Hari akan menjadi sangat terik. Dia dapat lihat wap ungu berkilauan dan menjulang naik dari tanah di celah pohonan pokok pain. Kesian anak muda ini, fikirnya, sambil dia mengangkat semangkuk jagung menghampiri mulut, hirup, dan mengigit sebatang daun saderi masin.

Bila pengawal datang untuk mengutip mangkuk dan penyepitnya, Encik Chiu bertanyakan kepada pengawal tersebut apa yang telah terjadi kepada lelaki yang berada di halaman belakang itu.  “Dia panggil bos kami perompak,” ujar pengawal tersebut. “Dia kata dia seorang peguam atau lebih kurang macam tu lah. Angkuh betul.”

Sekarang ianya sangat jelas yang Encik Chiu harus melakukan sesuatu untuk menyelamatkan penyelamatnya. Sebelum dia berjaya memikirkan jalan keluar, satu jeritan kedengaran dari halaman belakang. Dia bergegas ke jendela dan melihat seorang seorang pegawai polis yang agak tinggi berdiri di hadapan Fenjin, dan sebuah baldi besi di atas tanah. Ianya orang yang sama yang menangkap Encik Chiu di dataran dua hari sebelum ini. Lelaki tersebut mencubit hidung Fenjin, mengangkat tangannya, yang berada di udara buat beberapa saat, sebelum melempang muka peguam tersebut. Sedang Fenjin merintih kesakitan, lelaki itu mengangkat baldi tersebut dan mencurahkan air di atas kepalanya.

“Ini untuk mengelakkan kau dari terkena strok panas terik, anak muda. Aku akan memberinya lagi setiap jam,” kata lelaki itu dengan kuat.

Fenjin menutup rapat matanya, biarpun muka herotnya menunjukkan dia sedang bersusah-payah menahan diri dari memaki pegawai polis tersebut atau berkemungkinan dia sedang menahan esak di dalam senyap. Dia bersin, kemudian mendongakkan kepala dan menjerit, “Tolong lepaskan aku untuk pergi kencing.”

“Oh, ya ke? lolong lelaki tersebut. “Kencing je dalam seluar.”

 Encik Chiu masih senyap, memegang jeriji besi dengan kedua-dua belah tangannya, jarinya pucat. Pegawai polis itu berpusing dan mengerling sekilas lalu ke arah jendela sel. Pistolnya, yang separuh terletak di dalam sarung pistol, bersinar di bawah pancaran cahaya matahari. Dia mendengus, meludah puntung rokok ke tanah dan memijak-mijaknya hingga menjadi debu.

Kemudian pintu dibuka dan pengawal menyuruh Encik Chiu keluar. Sekali lagi mereka membawanya ke Biro Soal-Siasat.

Lelaki yang sama berada di pejabat, biarpun kali ini jurutulis itu duduk di situ dengan tangan kosong. Sebaik sahaja ketua melihat Encik Chiu dia pun berkata, ”Ah, kau sudah sampai. Sila duduk.”

Selepas Encik Chiu duduk, ketua melambai kain sutera putih dan berkata kepadanya, “Kau mungkin telah melihat peguam kau. Dia anak muda yang tiada adab, jadi pengarah kami memberinya pengajaran keras.”

“Ianya salah di sisi undang-undang. Awak tak takut isu ini akan muncul di dada akhbar?”

“Tidak,  kami tak takut, biarpun di kaca televisyen. Apa lagi yang kau boleh buat? Kami tidak takut sebarang cerita yang kau hebahkan. Kami panggil ia fiksyen. Apa yang kami nak sekarang ialah kau bekerjasama dengan kami, iaitu, kau mesti mengaku kesalahan kau.”

“Bagaimana sekiranya saya menolak untuk bekerjasama?”

“Makanya peguam anda akan terus diseksa di bawah cahaya matahari.”

Encik Chiu berasa seolah-olah hendak pengsan, dia memegang lengan kerusinya untuk stabilkan diri. Perutnya rasa kebas dan membuatkannya mual, kepalanya berdenyut-denyut. Dia pasti yang hepatitisnya kembali menyerang. Kemarahan membara di dada, kerongkongnya terasa ketat dan tersumbat.

Sambung ketua, “Sekarang ini, kau tak perlu lagi tulis surat mohon maaf. Jenayah kau sudah jelas diterangkan di sini. Apa yang kami perlukan cuma tandatangan .”

Sambil menahan marah, Encik Chiu berkata, “Biar saya lihat.”

Lelaki berwajah keldai tersenyum sinis sambil menyerahkan helaian kertas tersebut, yang mengandungi ayat ini, “Saya dengan ini mengaku bahawasanya saya telah mengganggu ketenteraman awam  di Stesyen Kereta Api Muji pada 13 haribulan tujuh, dan saya menolak untuk mendengar sebarang alasan bila pegawai polis mengeluarkan arahan mereka. Maka saya seharusnya bertanggungjawab di atas penangkapan saya ini. Selepas ditahan selama dua hari, saya akhirnya menyedari kesalahan saya. Mulai dari sekarang, saya patut terus mendidik diri dengan usaha saya sendiri dan tidak akan mengulangi jenayah ini lagi.”

Ada suara halus yang memberontak di dalam benak encik Encik Chiu, “Bohong, bohong!” Tetapi dia mengangukkan kepala dan menghalau suara itu pergi. Dia bertanyakan pada ketua, “Kalau saya tandatangan ini, adakah awak akan lepaskan kami?”

“Sudah tentu kami akan lakukan demikian.” Ketua mengetuk-ngetuk folder biru dengan jarinya – fail mereka ada bersama dengannya.

Encik Chiu menandatangani dokumen tersebut dan meletakkan cap jari di bawah tandatangannya.

“Sekarang kamu bebas untuk pergi,” kata ketua sambil tersenyum simpul, dan memberi sehelai kertas untuk mengelap ibu jarinya.

Encik Chiu sangat sakit sehinggakan dia tidak dapat bangun dari kerusi buat kali yang pertama. Kemudian dia menggandakan usaha dan bangkit berdiri. Dia keluar dari bangunan tersebut untuk berjumpa dengan peguamnya di halaman belakang. Di dalam dadanya, dia rasa seperti ada bom. Jika dia boleh berbuat sesuatu, dia akan memusnahkan keseluruhan balai polis dan menghapuskan semua keluarga mereka. Walaupun dia tahu dia tak boleh melaksanakan hal yang sedemikian, dia buat keputusan untuk melakukan sesuatu.

“Maaf atas penyeksaan ini, Fenjin,” ujar Encik Chiu bila mereka bertemu.

“Hal kecil saja. Mereka orang yang tidak bertamadun.” Peguam itu memberus tompok kotoran daripada jaketnya dengan jari yang menggeletar. Air masih lencun turun dari bahagian bawah kaki seluarnya.

“Mari pergi sekarang” kata cikgu.

Sebaik sahaja mereka keluar dari balai polis, Encik Chiu ternampak gerai teh. Dia meraih lengan Fenjin dan berjalan ke arah perempuan tua di meja itu. “Dua mangkuk teh hitam,” katanya sambil menyerahkan duit kertas satu yuan.

Selepas mangkuk pertama, mereka tambah lagi satu. Kemudian mereka bergerak ke stesyen kereta api. Tetapi sebelum mereka berjalan lima puluh ela, Encik Chiu bertegas untuk makan semangkuk sup telinga-pokok di gerai makanan. Fenjin bersetuju. Dia memberitahu gurunya, “Jangan layan saya seperti tetamu.”

“Tak, aku nak makan sesuatu untuk diri aku.”

Seolah-olah  orang yang sedang mati kelaparan, Encik Chiu mengheret sang peguam dari restoran ke restoran berdekatan dengan balai polis, tapi di setiap tempat dia makan tidak lebih dari dua mangkuk. Fenjin hairan melihatkan gurunya tidak makan di tempat yang sama sampai kenyang.

Encik Chiu membeli mi, wantan, bubur, dan sup ayam, masing-masing di setiap empat restoran berbeza. Semasa makan, dia asyik membebel, “Kalau lah aku dapat bunuh semua celaka-celaka itu!” Di tempat terakhir, dia cuma menghirup sedikit supnya sahaja tanpa merasa potongan daging ayam dan cendawan.

Fenjin bingung dengan gurunya, yang nampak ganas dan asyik menggumam sendirian, sambil muka kuningnya dipenuhi dengan kerutan-kerutan gelap. Buat kali pertama Fenjin merasakan yang gurunya seorang lelaki yang hodoh.

Dalam jangka masa sebulan lebih lapan ratus orang dijangkiti hepatitis akut di Muji. Enam mati termasuk dua orang kanak-kanak. Tiada siapa yang tahu bagaimana epidemik ini bermula.

Diterjemahkan dari cerpen Ha Jin bertajuk Saboteur.

Ha Jin adalah nama pena bagi Xuefei Jin, dilahirkan di Liaoning, Cina pada tahun 1956. Beliau membesar sewaktu Revolusi Kebudayaan mengambil tempat, di mana Parti Komunis Cina mahu mengubah ke arah masyarakat kelas Marxist dengan membuang segala kebudayaan zaman silam. Beliau sudah pun menerbitkan tiga buah buku puisi dan empat buah novel. Koleksi cerpennya yang pertama, Ocean of Words (1996), datang dari pengalaman beliau menganggotai People’s Liberation Army, dan telah memenangi PEN/Hemingway Award.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s