In the Realm of the Senses: Catatan Ringkas Tentang Oshima dan Pornografi

Konsep “kelucahan” diuji apabila kita menghalang diri sendiri daripada melihat sesuatu yang kita inginkan. Tatkala merasakan semuanya sudah diselak, “kelucahan” hilang dan ada pembebasan tertentu. Bila yang ingin dilihat itu tidak disingkap sepenuhnya, maka, taboo tak akan lenyap dan perasaan “kelucahan” itu akan kekal bahkan menjadi lebih besar. Maka filem-filem porno adalah satu ranah ujian atas “kelucahan”, dan faedah pornografi sememangnya sudah jelas. Sinema pornografi patut serta-merta diberikan ruang dengan sifar kekangan. Dengan cara itu lah, “kelucahan” dapat dicungkil sehingga luput maknanya.

-Nagisa Oshima, dari “Teori Filem Pornografi Eksperimental” (1976)

Biarpun In the Realm of the Senses dibikin lebih tiga puluh lima tahun yang lalu, tayangannya masih lagi ditapis di Jepun. Oleh itu, kendatipun sudah diterima di merata negara sebagai satu karya besar, dan ditayangkan tanpa sekatan di negara-negara lain, sayangnya ia masih belum dikenali di tanah kelahirannya sendiri.

Filem ini diinspirasi dari kisah benar. Sada Abe, seorang perempuan yang terkenal secara tidak sengaja telah membunuh kekasihnya ketika mereka tengah bersetubuh. Dia memotong zakar kekasihnya, satu-satunya benda yang menghubungkan mereka dan cabut lari dari pihak polis. Zakar tersebut masih berada dengannya ketika dia ditangkap dan kemudiannya didakwa.

Cerita ini tentang sepasang kekasih yang asyik bercinta, tenggelam di dalam lubuk asmara – apa yang orang Perancis gelar sebagai l’amour fou. Satu contoh ekstrem yang boleh diberi adalah L’amour fou, filem tahun 1968 arahan Jacques Rivette, di mana sepasang kekasih yang gila berasmara bukan sahaja akhirnya menghancurkan diri masing-masing, tetapi juga pangsapuri yang mereka diami. Filem tersebut berjaya ditayangkan tanpa sebarang masalah di Perancis dan di tempat lain. Seperti di Jepun juga, dua buah filem tentang Sada Abe iaitu A Woman Called Sada Abe (1975) arahan Noboru Tanaka dan Sada (1998) arahan Nobuhiko Obayashi tak ada sebarang masalah pengedaran.

Antara sebab filem Oshima sukar diterima di tanah kelahirannya adalah kerana ianya melawan pandangan lazim masyarakat Jepun, sekali gus menentang dan menolak rasional politik yang terbungkus di dalamnya. Seperti yang dinyatakan oleh pengarahnya sendiri, filem-filem seperti filem Tanaka mengambil seks bukan sebagai tema tapi sebagai subjek persoalan dan secara diam-diam meletakkannnya dalam kategori soft-core pinku eiga, yang dicipta untuk menyelubunginya.

Berlainan dengan Oshima, dia membikin filem yang memang berbeza, yang bertujuan untuk “memecah taboo” dengan menggunakan erotisisme bukan sekadar adanya, seperti mana “filem-filem merah jambu” (nota penterjemah: filem-filem pinku-eiga), tapi sebagai sarana untuk mencari dan membersihkan budaya Jepun dan kemudiannya karakter masyarakat Jepun dari sebarang mitos yang ada. Demi tujuan ini, adalah satu kemestian untuk mencipta satu bentuk gaya perfileman, stail yang menunjukkan kesemuanya dan pada yang sama membuat kita untuk berempati. Ini bukanlah dua orang pelakon yang sedang cuba untuk mengghairahkan penontonnya, tetapi hanya diri masing-masing. Dia mahu mempolitikkan erotisisme, bukannya membuat satu persembahan porno.

Kesemua filem-filem Oshima adalah kritik terhadap masyarakat dan asumsi-asumsi politik yang membentuknya. Dia tertarik pada agenda reformasi tetapi menolak agenda sosial yang seringkali diletakkan bersama. Kadang kala dia mengecam baik yang ‘kiri’ mahupun ‘kanan’ dan selalu menganggap yang individu dan kehendaknya lah yang patut diambil kira secara politiknya. Dengan berani, dia melawan musuh-musuh besar, iaitu sistem politik yang membentuk masyarakat dan pada takah tertentu, cuba untuk mengawalnya. Dalam tiga puluh lebih filem-filemnya, dia selalu menggunakan elemen jenayah untuk mengambarkan masalah dalam masyarakat. Filem-filem awalnya seperti A Town of Love and Hope (1959) dan The Sun’s Burial (1960) bercerita tentang jenayah remaja; Boy (1969) tentang mereka yang bernasib malang dan jenayah lah satu-satunya pilihan yang mereka ada, dan The Ceremony (1971) menggambarkan sistem keluarga, mikro-kosmos sistem politik Jepun itu sendiri, dan bagaimana mereka berhadapan dengan rasuah.

Empire of Passion (1978), filem Oshima yang dibuat selepas filem In the Realm of the Senses, dibikin ketika dia sedang didakwa di Jepun kerana menerbitkan senario filem awalnya itu. Ianya tentang pasangan kekasih fou d’amour yang membunuh suami pasangannya dan tak dapat lari dari dibelenggu oleh roh lelaki tersebut. Mereka juga tak punya pilihan dan harus menyerahkan diri kepada pihak polis. Tony Ryans ada cakap yang Oshima punya “kebencian terhadap sosok autoriti mencapai tahap yang tertinggi sejak filem Death by Hanging.”

Filem In the Realm of the Senses juga mempunyai cita-cita politik sejak awal, dan sebab ini lah yang menyebabkan filem ini sukar diterima, bukannya disebabkan oleh amoral seksualitinya. Di mana-mana sahaja terdapat elemen politik di dalam filem ini – perempuan tersebut yang pada mulanya adalah orang gaji, kemudian gundik (dalam beberapa hal), caranya membuat duit dengan melacur; dia menentang (berlawanan arah) dengan Imperial Army – satu kritik berterusan terhadap teori dan praktis untuk membentuk dan menjalankan organisasi yang cuba berhubung dengan masyarakat.

******

1936 – Berlaku kudeta pada 26 Februari dalam cubaan untuk menjatuhkan kerajaan, bahagian militan Imperial Army sedang menggila, kawalan terhadap ruang peribadi sudah menjadi norma, dan Perang Pasifik hampir tiba.

Seperti mana filem-filem Oshima, protagonisnya adalah orang luar, sepasang kekasih yang mencipta dunia mereka sendiri. Mereka meraikannya dengan persetubuhan. Meskipun sudah nampak ke mana hala tujunya, Oshima menghalalkan kembara erotis ini, merasakan yang ianya jauh lebih murni kalau nak dibandingkan dengan sistem politik dan masyarakat yang kaku.

Sada dan Kichizo, majikannya (Sada berkerja sebagai orang gaji di rumahnnya) menjadi kekasih. Isterinya cemburu, dan keduanya hanya berjumpa di rumah tumpangan terdekat. Sepanjang mereka bercinta, mereka cuba untuk keluar dari segala macam kekangan. Dalam hal ini, mereka cuba untuk keluar dari batas kelas sosial dan peranan seksual sosial. Seluruh hidup mereka adalah persetubuhan itu sendiri. Tapi mereka hanya dapat menikmati kepuasan seksual hanya dalam keterasingan. Mereka lebih menderita dalam tatanan sosial ketimbang sebagai pelaku jenayah moral. Meskipun setelah hubungan seks mereka yang terbantut dan dalam cubaan Sada untuk meneruskannya, menyebabkan dia membunuh Kichizo secara tidak sengaja.

Seperti apa yang Joan Mellen cakap: “Kalau kita lihat dari sudut alegori filem ini, orang Jepun hendaklah meninggalkan masyarakat kontemporari Jepun sekiranya mahu bebas dari pengaruh feudal yang mengotorkan masyarakat. Sada dan Kichizo bukan sahaja lari dari kekangan seksual tetapi dari ketenteraan Jepun yang hendak menguasi takhta diraja, pemberontakan mereka bukan sekadar hanya kepada keseluruhan budaya itu sendiri tapi juga terhadap mentaliti yang menyebabkan peperangan.”

Meskipun dia membikin filemnya pada tahun 1976, Oshima menganjurkan yang hanya sedikit yang berubah dalam empat puluh tahun kebelakangan sejak 1936, yang kerajaan Jepun masih lagi mendominasi masyarakatnya. Dalam filem ini, sistem politik autoriatarian membawa kepada seksualiti yang ditekan, dan menggelintar taboo filem ini adalah satu komponen penting untuk menjelaskan tema ini.

Pelanggaran taboo seksual ini – adalah tema sinematik yang besar pada tahun 1970 di tempat lain juga. Dusan Makavejev membikin WR: Mysteries of Organism (1971), Bernado Bertolucci pula dengan The Conformist (1970) dan juga Last Tango in Paris (1972), dan Robert Altman dengan Mccabe and Mrs. Miller (1971). Tambahan, pengarah Jepun yang lain (seperti Shohei Imamura sebagai contoh) berminat untuk mencairkan tema seksualiti di luar kepompong selamat pinku eiga.

Semua pengarah ini tahu yang mereka akan dituduh membikin pornografi, kerana temanya memerlukan gambaran seksual. Mereka akan didakwa atas tuduhan melucah, meskipun, termasuk zaman sekarang, erti kelucahan itu sendiri membawa pelbagai perdebatan.

Di Jepun, masalahnya makin besar apabila konsep kelucahan itu sendiri tidak ditafsirkan melalui undang-undang. Satu-satunya “undang-undang” yang adalah undang-undang adat resam, yang mana lucah dianggap sebagai sesuatu yang “menganggu masyarakat”. Ini juga terpakai untuk konsep pornografi secara keseluruhannya. Oshima tulis “pornografi mungkin direka untuk mengelakkan kita dari berfikir tentang seks secara terus.”

Dan itulah apa yang dia mahu buat dalam filem ini: fikir tentang seks secara terus. Untuk berbuat demikian, dia harus memerhati, harus menunjukannya. Sewaktu kes mahkamah ketika sedang didakwa atas tuduhan melucah, Oshima mempertahankan dirinya (27 Februari 1978) dengan menyatakan “kelucahan bukanlah apa yang diekspresikan, sebaliknya apa yang disembunyikan. Bila kita bebas untuk melihat segalanya, taboo dan kelucahan akan hilang.” Pornografi, sambungnya lagi, patut diberikan galakan, kerana hanya melalui pemaparan idea tentang lucah lah, esensinya akan jadi tidak bermakna lagi. Konsep kelucahan ini, jauh dari menjadi satu jenayah, sepatutnya tidak patut ada dalam demokrasi. Dan Oshima menegaskan di dalam mahkamah, “Tidak kah Jepun negara yang terkehadapan? Sebahagian dari dunia yang bebas? Bukankah kebebasan itu salah satu prinsip universal dalam kemanusiaan, termasuk kebebasan untuk ekspresi seksual?”

Pengarah tersebut menang kesnya. Dia dilepaskan pada tahun 1982, tetapi larangan untuk menayangkan In the Realm of the Senses masih kekal. Ianya tidak pernah ditayangkan dengan lengkap di Jepun kerana beberapa adegan telah dikaburkan atau dimozekkan. Seteleh filem tersebut terkenal di Barat, sepatutnya suntingan yang tidak dipotong akan dibenarkan untuk tayangan pada masyarakat Jepun lambat laun, tetapi mereka menemui yang walaupun sesetengah babak yang melibatkan heroin ditayangkan, bahagian kekasih nya masih lagi ditapis. Oshima memberitahu pada pihak penapisan yang “dengan memotong dan menyamarkan filem ini, anda membuatkan filem saya yang murni ini menjadi kotor. Ini kerana edisi uncut In the Realm of the Senses bukanlah filem pornografi dalam apa jua keadaan sekali pun.

******

Selalunya terma pornografi di Barat didefinisikan dari perkataan asalnya: Greek – porno/graphos, “tulisan pelacur.” Iaitu, iklan, satu hasutan ke arah keterujaan seks. Penonton atau pembaca akan dirangsangkan sehingga klimaks seks tercapai, samada dengan pasangan, atau kebiasannya, dengan tangan penonton sendiri. Melancap adalah satu cara pornografi untuk memuaskan nafsu seks. Untuk mencapai hasrat tersebut, beberapa syarat mesti dipenuhi.

Dalam filem-filem pornografi, tujuannya adalah untuk membangkitkan nafsu si penonton, dan beberapa teknik akan digunakan. Pertamanya, untuk memisahkan adegan seks dengan jalan cerita. Naratifnya nipis, kerana tujuannya bukannya untuk menyampaikan cerita tetapi untuk memperlihatkan sekumpulan pelakon. Kebanyakan naratif porno hampir tiada dan memang dibikin begitu. Sebarang pertimbangan untuk mencerakinkan naratif, akan mengenepikan tujuan asalnya iaitu merangsangkan penonton.

Atas sebab ini, aktiviti seksual tidak digambarkan dalam fesyen tertentu. Satu-satunya “peraturan” adalah view yang paling cantik pada alat kelamin mesti diambil. Ini bermakna jurukamera mesti mengikut pergerakan pelakon yang telah diarahkan untuk kelihatan aktif dengan berhati-hati. Idea long shot (dari jauh) atau sebarang kemungkinan estetika filem tidak akan diambil kira, dan kerana itu tiada perkembangan naratif sejauh yang diambil dari pergerakan kamera. Pornografi adalah improvisasi yang disengajakan.

Dalam masa yang sama, jurugambar ada beberapa peraturan yang perlu diikut. Antaranya adalah sudut kamera rendah (low camera angle). Ini menyatakan bahawa penonton berada di aras yang sama seperti pelakon. Penonton tak berada di atas mereka, tak juga memerhatikan. Tapi, penonton turut serta – yang mana menjadi asbab kenapa kerapnya close-up dan low level shot digunakan.

Kualiti amatur yang direka dengan berhati-hati turut sama menyumbangkan ilusi intimasi, penyertaan ini. Pelakon jarang sekali diminta berlakon, tapi hanya untuk memperlihatkan diri mereka. Memang, sekiranya memberikan sedikit kemahiran lakonan mereka, mereka ada risiko untuk memberi nyawa dan perasaan kepada karakter yang mereka lakonkan. Ini bukan pornografi, yang bertujuan untuk merangsangkan nafsu seks semata-mata. Empati – apa yang perasaan kita beri – akan membibitkan simpati, dan katakanlah kalau pelancap itu mula rasa kasihan kepada pelakon tersebut, maka akan terbantutlah nafsunya.

Dalam pornografi, aktiviti seksual harus dianggap hanya untuk tatapan kamera dan penonton yang bersendirian. Ini lah satu sebab kenapa seni penyuntingan hampir tiada dalam porno, kalau ada pun ianya samar-samar. Penyunting tidak boleh menggunakan kemahirannya untuk membentuk naratif dengan menunjukkan atau tidak sekiranya filem secara khusus dibikin untuk menggambarkan butiran seksual. Dek kerana itu lah perlunya kejelasan atas kespontantan yang ketara.

Maka sebab itu adanya kehadiran tatabahasa filem yang meyakinkan dan mempunyai cita-cita penyunting, diolah dengan tujuan memujuk (penonton). Pendam-masuk (fade-in), pendam-keluar (fade-out), pelenyapan (dissolve) adalah sebagai alat retorikal yang digunakan dalam filem untuk mencadangkan sesuatu, untuk memberi idea bahawa satu kebijaksanaan membimbing paparan visual. Walaupun ini adalah satu kebiasaan dalam kesemua filem, penggunaan tanda baca (filem) seperti itu penting dalam pornografi, di mana akan melicinkan segala kesulitan, boleh mencadangkan persetujuan, boleh “mentamadunkan” dan juga mengobjekkan, boleh menandakan “keindahan”, dan memberi aspek estetika.

Dalam masa yang sama, adalah penting untuk para pelakon diobjekkan, bahkan di-dehumanisasi, supaya mereka lebih berguna, lebih diobjektifikasi oleh penonton. Oleh kerana hampir tiada naratif dan karakter dipaparkan di dalam filem pornografi, para pelakon yang bermukah inilah yang menjadi tiang seri kepada cita-cita seksual penonton.

Penonton, dalam kata lain, akan mengalami keterasingan. Mereka akan merasa terasing dari tubuh mereka, dan dari tubuh yang lain. Sememangnya, itulah tujuan pornografi – keterasingan. Melihat dari konsep ini, pornografi bukanlah tentang simbol keperluan seksual melainkan atas swa-penerimaan dan rasa hormat.

Bila Paul Thomas Anderson memaparkan dunia filem pornografi dalam Boogie Nights (1997), tak ada langsung adegan-adegan miang, beliau hanya berkisah tentang keperluan untuk berkeluarga, untuk rasa dihormati dan swa-penerimaan. Adalah satu ironi di dalam filem ini di mana “keluarga” perfileman boleh diikat hanya dengan cara mengasingkan pornografi.

Desakan atas keterasingan inilah yang membuatkan In the Realm of the Senses paling kurang elemen seksualnya kalau nak dibandingkan dengan filem-filem lucah yang lain. Biarpun mereka bersetubuh agak kerap, pasangan ini tidak bertujuan untuk membuat penonton terangsang. Oshima cuma berhajat untuk memperlihatkan kesengsaran politikal mereka. Sada dan Kichizo mungkin menemui identiti seksual mereka, tapi mereka terasing dari masyarakat. Mereka hanya rasa selamat di rumah tumpangan di mana mereka tidak dikenali; yang lelakinya tak berkerja langsung, yang perempuan pula “berkerja” sekadar cukup untuk makan-pakai mereka berdua. Mereka sememangnya anti-sosial dan terlibat dalam tindakan anti-sosial.

Sada menjual diri dengan seorang lelaki tua dan merasakan dirinya terasing sehinggakan dia meminta lelaki tersebut memukulnya. Hukuman ini diulang selepas Sada kembali kepada Kichizo bila mana Kichizo meminta untuk dipukul. Sada bermimpi yang dia melayan kanak-kanak dengan teruk. Kichizo berada di tepi jalan ketika sekumpulan askar menuju ke medan perang (1936) dan dia sedar dia tak punya tempat di dalam masyarakat. Di penghujung filem, Sada rasa “kehilangan” dan bermimpi dia bermain sorok-sorok dengan dirinya yang lebih muda. Keterasingan ini menjadi semakin sakit, dan dengan itu seks sebagai penawar semakin hilang fungsinya. Akhirnya, pasangan kekasih ini terjerumus dalam permainan hukuman, semata-mata untuk keghairahan seks, dan membawa kepada Sada membunuh kekasihnya.

Cara kematian itu adalah satu tanda. Selepas seks yang tak pernah usai, pasangan kekasih tersebut hilang kemampuan mereka. Sada menekan arteri karotid di leher kekasihnya, untuk meningkatkan tekanan darah supaya zakarnya kekal tegang. Akibat tekanan yang terlalu lama dan kuat, Kichizo mati. Maka intensiti yang diperlukan untuk melawan keterasingan adalah penyebab apa yang digambarkan di dalam filem ini sebagai tragedi mauvais fou.

Melihat semua ini, kita diajak untuk berempati – satu jawapan kepada keterasingan. Kita tak melihat pasangan kekasih ini sebagai sesuatu yang merangsangkan. Meskipun pada mulanya mungkin kita akan sedikit terangsang apabila melihat adegan bogel, tapi kemudian kita akan berbelah bahagi.

******

Ambivalen adalah satu kerja seni. Seperti karya Tristan and Isolde, kita diberi kisah dongeng tentang ajal dan cinta yang utuh seperti mana juga di dalam In the Realm of the Sense. Dan dengan adegan seks yang bersepah di dalamnya, jelas dengan erotik dan musik yang tak tertahan, serta klimaks yang memuncak. Sepanjang pengetahuan saya, belum ada yang mencapai penuh kepuasan seksual sewaktu menonton opera Wagner kendatipun ianya secara terang-terangan tentang orgasme. Tak juga penonton yang menyaksikan tayangan filem Oshima yang tak dipotong. Dalam waktu yang sama, penonton filem dan penonton opera diletakkan dalam posisi ambivalen.

Menjadi ambivalen bermaksud mempunyai pandangan dwi-sisi. Misalnya, terdapat dua cara utama untuk memandang ketelanjangan. Satu jalan membenarkan kita untuk bernafsu, melihat jasad yang lain sebagai objek, yang bogel, sebagai sesuatu yang dapat dicapai. Jalan yang lain melihat ketelanjangan sebagai keadaan manusia yang alamiah. Tika itulah, tubuh yang lain diselak serupa seperti kita. Kita akan dapati yang ianya bukan sahaja natural tetapi juga rapuh, bahkan mengundang simpati, sesuatu yang patut dilindungi bukan dieksploitasi. Kita berempati: tubuh bogel dihadapan kita bukannya orang perseorangan, tapi insan. Kita tak boleh objekkan mereka kerana kita subjektifnya melihat persamaan yang membuatkan kita ini seiras.

Mencipta empati adalah tugas yang Oshima letakkan pada dirinya, pada kita, dalam filem ini. Cara dia melaksanakan tugas ini dengan mahir merupakan pelajaran sinematik untuk sebuah penamat yang psikologikal, dan boleh diaplikasikan kepada banyak benda selain pornografi. Bahkan, tekniknya dalam menulis, mengarah, dan mengambil gambar dalam In the Realm of the Sense adalah bertentangan dengan apa yang telah digariskan di atas dalam kebanyakan filem pornografi yang tipikal.

Daripada menggunakan kamera yang bergerak bebas pada jasad yang sedang bersetubuh, selalu mencari sudut yang cantik untuk merakamkan alat kemaluan, Oshima menggunakan syot pegun (static shots). Kamera terkawal di atas tripod. Selalu ada jarak di antara para pelakon. Kita melihat keseluruhan mereka, bukan sekadar organ seksualnya.

Kita bukan sama seperti mereka, sebab itu tidak dibenarkan untuk turut serta. Kamera selalu berada di atas pelakon, memerhatikan mereka di bawah. Sudut ni memberi makna agar jarak perlu diambil. Kita tidak berada di atas futon atau katil dengan mereka. Tapi kita tak pernah “di atas” mereka dari segi harfiahnya. Sebaliknya kita diberikan pandangan untuk melihat mereka selengkapnya, sebagai seorang manusia yang tengah seronok. Kita tak digalakkan untuk melihat mereka dalam bentuk anggota badan yang terpisah seperti mana yang berlaku dalam imaginasi kita. Sebahagian dari hasrat anti-pornografi di dalam filem ini, saya perlu menyampaikan fakta bahawa penonton Jepun sudah tahu yang zakar Kichizo akan dipotong. Idea pemotongan zakar itu bukanlah satu galakan untuk yang lain melakukan hal yang sama.

Seperti juga jarak suntingan. Kita tak ada fade atau dissolve untuk mendorong kita masuk dan meluncur dalam posisi yang kita tonton. Satu tatabahasa yang Oshima guna hanyalah straight cut, asas suntingan yang paling cikai dalam proses penyuntingan.

Neutraliti yang terbina dalam ini adalah salah satu alasan mengapa Yasujiro Ozu sebagai contoh menggunakan straight cut. Dia tak mahu menyunting untuk penontonnya, dia mahu penonton berani memberi pendapat, bukannya dipaksakan melalui dissolve yang menggabungkan setiap adegan dan mencadangkan persamaan, atau melalui fade yang menghadkan pengalaman pada adegan itu sendiri.

Dalam masa yang sama, Oshima (seperti Ozu) menggunakan elipsis untuk memajukan naratif. Hanya yang penting ditunjukkan – yang lain dibuang. Bahagian yang hilang dalam cerita memberitahu tentang niat naratif yang terhalang. Pasangan kekasih tersebut sudah tentu bukan sahaja bersetubuh semata-mata – mereka turut makan, berbual di antara satu sama lain tentang hal selain dari cinta, mereka juga mungkin membaca buku. Tak ada satu pun hal ini yang ditunjuk kerana ianya tak penting dalam naratif yang Oshima bentuk.

Bagi Oshima, naratif (tak seperti kebanyakan filem pornografi) penting. Dia memerlukan permulaan, pertengahan dan penghujung. (filem porno tak ada konsep masa, abadi, mereka mengambil masa selama mana yang perlu untuk ditonton). Walaupun plot Oshima biasa-biasa dan jalan ceritanya dibiarkan sederhana, pergerakan dan resolusi naratif adalah penting untuk memberi kesan seperti mana yang dikehendaki. Atas alasan ini, walaupun Sada dan Kichizo di dunia nyata hanya bersama untuk enam hari, Oshima memanjangkannya menjadi enam bulan.

Atas keperluan naratif memerlukan perhatian kepada karakter, kerana dengan identifikasi kita kepada pasangan kekasih inilah membuatkan kita berempati, bukannya semata bernafsu, pemilikan, seksual.

Kedua-dua karakter ini didokong oleh satu “realma rasa” di mana mereka tinggal, kerana mereka tiada tempat tinggal lain, dan kewujudan mereka terangkum dalam kehendak mereka untuk melakukan hubungan seks. Walau bagaimanapun, ini tidaklah membuatkan mana-mana karakter itu tidak meyakinkan, terutamanya bila watak itu dipegang oleh pelakon berpengalaman dan berkaliber – misalnya watak Sada yang diperan Eiko Matsuda. Sebarang petunjuk kepada nilai amatur (yang penting dalam filem lucah) dimusnahkan dengan kebolehpercayaan karakter yang dibawa dan keberanian serta kemahiran pelakon tersebut.

Semua ini digerakkan oleh Oshima dengan naratif yang terbina daripada karakter. Sebagai contoh, pada mulanya, Sada memegang bilah pisau, dan di penamat filem, Sada menggunakannya. Sada dan Kichizo, kedua-duanya, bertukar kimono, satu alegori mengenai situasi mereka yang saling tertukar. Satu bentuk naratif adalah bila mana dominasi bergerak dari sang lelaki kepada perempuan (tak seperti filem porno di mana kuasa selalu berada di tangan lelaki). Selain itu, permainan hukuman patut dilihat sebagai hasil tekanan sosial yang melampau bukannya hasil persetubuhan berlebihan.

Oshima inginkan kekangan ini dikekalkan dengan lengkap sepanjang filem. Itu sebabnya ada penukaran ton yang mendadak dekat hujung filem. Kita terlalu rapat dengan mereka, dan sekarang kita mengambil jarak. Suara latar yang pertama di dalam filem, adalah suara masyarakat itu sendiri, yang menceritakan apa yang sudah terjadi selepas itu. Nadanya neutral tetapi tidak mesra secara objektifnya. Seperti mana masyarakat Jepun memaknakan mereka berdua, jadi sekarang filem ini pula memberi definisi kepada sikap sosial ini. Tapi kita pada waktu ini tahu yang penamat ini adalah kesan tragis terhadap individu yang cuba melawan budaya yang tidak memberi kebebasan dan menghalang swa-pencapaian. Jika dilihat dari sudut pandang ini, In the Realm of the Sense menjadi seperti Romeo and Juliet buat zaman kita.

Semua gejala ini adalah apa yang telah terjadi kepad para pelakonnya. Tatsuya Fuji yang memainkan watak Kichizo menjadi personaliti TV dan filem yang terkenal, muncul di dalam iklan yang serba lumayan (rokok Cabin). Walau bagaimanapun, Matsuda dikecam oleh media atas lakonannya yang berani, yang kemudiannya lari ke luar negara. Dia tinggal di Rome sewaktu kali terakhir saya melihatnya.

Dalam esei-nya pada tahun 1976 “Teori Filem Pornografi Eksperimental,” Oshima menyatakan yang “In the Realm of the Sense tidak boleh dilihat sebagai pornografi setelah filem itu ditonton. Ini berlaku di Eropah dan Amerika Syarikat, yang ditayangkan tanpa sebarang potongan.” Di Jepun, filem itu dipaksa masuk dalam kategori pornografi hanya semata-mata sebab ia tidak boleh ditonton.

Maureen Turim, dalam monografnya untuk Oshima, menyatakan yang struktur filem tersebut sudah dengan sendirinya bertentangan dengan struktur yang terbiasa dalam pornografi. Dia melihat yang filem ini mengandung kritik terhadap genre pornografi, dengan “kesenangan potensi dengan imperatif hiburan yang membuatkan ianya kurang subversif atau penentangan, dan membolehkan ianya akur kepada peranan jantina yang terhad dan memperkukuhkan hubungan kuasa dengan cara memaparkan imejan seksual.”

In the Realm of the Sense sudah tentu bukannya sebuah filem porno. Ia sebaliknya mencabar anggapan-anggapan itu. Ianya subversif, mempersoalkan seksualiti, politik serta adat resam. Dengan berbuat begitu, ia menawarkan pelajaran kepada penontonnya tentang dinamika psikologi dalam teknik perfileman.

Esei ini muncul pertama kali dalam bahasa Inggeris di sini, diadaptasi dari tulisan asalnya yang diterbitkan dalam terjemahan bahasa Jepun di majalah bulanan Studio Ghibli, Neppu pada Disember 2006. Tulisan ini akan muncul dalam bahasa Jepun dalam vol kedua Donald Richie Eiga rikaigaku nyumon (Studio Ghibli, 2009) dan bahasa Inggeris dalam Viewing Film (Taurus, 2009).

******

Diterjemahkan dari esei Donald Richie yang bertajuk In the Realm of the Senses: Some Notes on Oshima dan Pornografi di laman Criterion.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s