Ender’s Game (2013)

“Bila aku benar-benar memahami musuh aku untuk mengalahkan mereka, ketika itulah, aku mulai sayang kepada mereka.”

A.E. Wiggin

Tak sangka saya betul-betul menikmati filem ini untuk tontonan kali kedua, ketiga dan seterusnya. Dan yang lebih mengejutkan filem ini mampu buat saya teruja. Mungkin perlu diambil kira kualiti gambar ketika itu dan suasana sekeliling saya ketika pertama kali melihatnya di kaca monitor. Sayang, filem sebaik ini saya terlepas tonton di layar lebar. Namun secara peribadi, saya dengan berbesar hati boleh meletakkan Ender’s Game sebagai filem sains fiksyen kanak-kanak (atau young adult?) di dalam koleksi.

Filem ini merupakan adaptasi dari novel Orson Scott Card (beliau turut jadi co-producer untuk filem ini), yang pernah memenangi beberapa anugerah untuk kategori novel fiksyen di Amerika Syarikat sana.

Mengisahkan tentang Bumi yang diserang kali pertama oleh makhluk asing yang anatominya serupa semut (dipanggil Formic) tapi manusia berjaya mengalahkannya hasil usaha hero legenda, Komander Mazer Racham (wataknya pada awal filem disangka terkorban dalam perang). Kemudian sekumpulan budak-budak muda genius direkrut untuk untuk menjadi komander bala tentera atas kemampuan mereka berfikir secara kreatif dan kritikal. Hero kita, Ender Wiggin (Asa Butterfield) – seorang remaja yang sangat berbakat dalam strategi-taktik-ketenteraan selain mudah berempati dengan makhluk Allah s.w.t. direkrut oleh Kolonel Hyrum Graff (Harrison Ford) untuk menyertai Battle School dan seterusnya menyelamatkan bumi lagi sekali dari ancaman alien tersebut.

Jujur untuk mengatakan yang saya bukanlah berminat sangat dengan filem-filem yang sarat dengan efek CGI, bahkan tak akan pula menontonnya di pawagam biarpun perlu pertaruhkan nyawa. Tapi, filem ini adalah satu pengecualian. Kerana untuk saya, ada beberapa idea menarik yang dieksplorasikan dengan baik dalam filem ini terutama konsep psikologi yang diguna pakai seperti kepimpinan, psikologi massa, empati, idea panoptikon,  selain isu sosio-politik yang jelas terang diaplikasi dalam novel/filem ini.

Quote yang saya letakkan di atas adalah pembuka visual kepada filem ini. Kita tahu yang inilah motivasi utama kepada Ender untuk dia berempati dengan orang sekaligus psyche asas tentang heronya di dalam filem. Baik kepada abangnya Peter, musuh sekelasnya, Bonzo dan Formic. Setidak-tidaknya quote itu menjelaskan personaliti Ender tanpa perlu mengambil masa panjang untuk set up the first act (ini filem; medan yang kaya visual bukan novel yang tepu kata). Kita tahu Enders ni memang seorang yang genius, taktikal dan berhati-hati dalam setiap perbualan serta tindakannya. Setiap gerak diisi dengan motif dan strategi untuk jangka masa panjang. Lihat bagaimana Ender menolak untuk meneruskan permainan konsol dengan rakan sekelasnya, cara dia bertolak ansur dengan musuh, terutamanya Bonzo, tanpa perlu mengorbankan kepentingan peribadinya.

Memang dari awal Ender diberi beban untuk menggalas tanggungjawab seorang pemimpin oleh Kolonel Hyrum Graff sebaik saja masuk ke kapsul kapal angkasa dalam perjalanan menuju ke Battle School. Beban ini digalas dengan cemerlang, licik dan berhikmah. Ender tahu untuk orang lain menerima dirinya, dia sendiri perlu lah membuktikan yang dia cukup serba-serbi karakteristik sebagai seorang pemimpin. Apa lah maknanya menjadi pemimpin (sekaligus seorang anak muda!) tanpa berani melanggar batas-batas yang ada dan mencabar status quo.

Hal inilah yang dibuktikan buat kali pertama ketika Ender bertanyakan kepada Kolonel tentang haknya untuk berbalas emel dengan kakaknya, Petra (Abigail Breslin). Ender bukan sahaja memperjuangkan haknya tapi secara subliminalnya, juga memperjuangkan haknya. Hal ini memang dirancang oleh Ender, sebab itu kita lihat selepas Ender dikenakan hukuman, masing-masing menunggu reaksi balas dari Ender. Masing-masing mula mengiktiraf kewujudan autoriti sang pemimpin. Taktik-taktik begini diteruskan lagi oleh Ender sewaktu dalam Salamander Army, ketika bergocoh dengan Bonzo, dan ketika menjawab kenapa Bernard, rakan sekelasnya dulu direkrut dalam Dragon Army yang dipimpin oleh Ender sendiri.

Ah, saya lupa. Cuba lihat ketika Kolonel Hyrum Graff datang ke rumah Ender untuk merekrutnya agar masuk mendaftar di Battle School. Dalam bingkai filem, Ender duduk di sudut kanan bangku sementara Kolonel di kirinya. Dalam bahasa badan, yang di kanan dianggap punya lebih autoriti, lebih kuasa. Dalam adegan ini, Ender lah. Tapi selepas itu, kita lihat sedang Kolonel memujuk Ender dan menegaskan yang Ender la Messiah umat manusia, dia meletakkan tangannya pada bahu Ender. Tanda memujuk. Inilah seni memujuk, art of persuasion.

Dalam bahasa filem, atau semiotik mungkin, saya rasa lah, adegan ini menunjukkan yang Ender ni berkuasa (dari posisi duduknya di dalam bingkai) untuk menentukan arah tuju hidupnya, boleh membuat satu keputusan yang rasional, tapi secara tersiratnya, secara sinematiknya, secara psikologikalnya, ternyata Kolonel lah yang lebih autoritatif, lebih tinggi kedudukannya. Inilah salah satu ilusi demokrasi/pasaran bebas, ilusi kebebasan. Hooray!

Selain itu, penggunan konsol permainan untuk mengakses minda seseorang juga telah lama dijadikan bidang kajian dalam neuro-psikologi. Melalui cara ini, kesan bias atas kehadiran orang ketiga dapat dihindari. Sebab itu lah, monitor ditanggalkan untuk melihat bagaimana tindakan Ender seterusnya dapat menguruskan konflik. kita sedia tahu yang manusia ini punya topeng/persona/peranan yang berbeza pada setiap kelompok yang berbeza. kita di depan keluarga berbeza dengan kita di depan rakan.

Ini serupa apa yang dibuat dalam penjara atau masyarakat moden kini. Penjara sebagai sebuah institusi yang membentuk dan mengubah tingkah laku (dalam bahasa Althusser, Repressive State Apparatus – Radas Tekanan Negara) meletakkan kamera untuk melihat tingkah laku banduan mereka. Banduan sedar hal ini, sedar yang mereka diperhatikan, tapi akan jadi sekiranya kamera itu sendiri ditutup? Hanya ada sekadar ada. Adakah tingkah laku banduan akan berubah? Tidak, kalau menurut eksperimen psikologi yang telah dijalankan. Mereka masih merasa diri diperhatikan. Begitulah yang terjadi dalam masyarakat era demokrasi kapital sekarang. Kita ada CCTV di merata tempat, bahkan lebih teruk, tanpa disedari, media-media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram sendiri menjadi panoptikon; mata-mata gelap kepada wujudiah manusia sendiri.

Akhirnya, hidup manusia sendiri berada dalam dua lapisan. Satu, menjadi aktor dalam kehidupan mereka, yang kedua menjadi spektator dalam kehidupan orang lain. Yang satu aktif, yang keduanya pasif. Tak ubah seperti dalam filem The Truman Show.

Terlepas dari pujian melangit terhadap filem ini, ada beberapa masalah ataupun sub-plot yang kurang meyakinkan untuk berada dalam naratif. Pertama, isu hubungan Ender-Petra ini nampak macam cuba memberi rona romantis kalau tak pun cinta dalam sebuah filem sains fiksyen kanak-kanak yang cuba bergerak cepat untuk sampai ke destinasi. Pseudo-romantik. Walhal, kita tahu setting filem ini sendiri memang tergesa-gesa untuk mengolah watak Ender. Segalanya tentang Ender.

Kedua, saya tak boleh nak berbagi rasa kepada watak Bonzo. Dah lah tak hensem, dan kita pun tak tahu macam mana dia boleh jadi kapten kepada Dragon Army walhal dia tak nampak karismatik dan bijak selayaknya selaku seorang pemimpin. Dan saya masih tak faham kenapa banyak sangat tertumpu kepada simulasi permainan di sifar graviti itu? Adakah perlu ditunjukkan berkali-kali yang Ender ini memang genius dan taktikal atau untuk elaborate watak dan cerita supaya trait kepimpinan dalam diri Ender itu digarap sepenuhnya?

Ketiga, perasan tak bila Ender gagal dan terpaksa pulang ke rumah selepas monitornya ditanggalkan, dia mengeluh kepada Petra kepada yang dia “ketiga” yang gagal? Tapi apa yang ketiganya? Nah, kalau semak novelnya, kita dapat tahu rupa-rupanya dalam dunia Ender ini, anak ketiga tidak dibenarkan. Tapi oleh kerana ibubapanya bijak, maka mereka dapat pelepasan. Dan Ender kecewa kerana tidak mampu melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang. Dia terpaksa menanggung dosa warisan sang ibu, sang bapa. Still tak rasa yang Ender ni Jesus? Terutamanya lepas dia mengorbankan empatinya dengan meletupkan planet permaisuri Formic tersebut (disalib secara psikologi dan mental)  kemudian membawa diri ke jagat raya sambil mencari planet kosong untuk telur permaisuri baru Formic ini menetas. Telur adalah simbol kelahiran, simbol harapan dan membawa diri itu konotasi Jesus hilang dari masyarakatnya. Pemimpin yang mereka angkat sendiri membawa diri setelah mengorbankan prinsipnya. Jesus yang diangkat kaumnya sendiri dipasung setelah berbagi segalanya.

Perang manusia-alien ini pun bukanlah perang antara manusia dan entiti yang lain. Tapi perang antara manusia dengan ego mereka, seperti yang terlihat pada watak Kolonel Hyrum Graff dan Komander Mazer Racham. Kesan dari slogan Rene Descartes cogito ergo sum (aku berfikir maka aku ada), kesedaran dan kebenaran semuanya tertakhluk kepada manusia. Manusia jadi subjek. Yang lain jadi objek. Manusia jadi tu(h)an. Yang lain hamba. Manusia jadi pusat, yang lain pinggiran. Atas nama subjektiviti ini lah, alam ditarah, yang lain dimusnah.

Maka, jawab Ender balik, “Cara kita menang itu yang penting.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s