Refleksi atas Cermin Sinematika

Cermin bukan sekadar refleksi diri sekiranya digunakan dengan baik oleh sinematografer atau pengarah yang hebat. Ia boleh jadi doppelganger yang paling real, visi masa lalu atau ingatan tentang siapa diri kita. Dari segi estetikanya pula, cermin membantu bilik yang kecil nampak lebih luas. Boleh juga menyerlahkan samada hubungan, keselarian dan fragmentasi. Dalam Alice ciptaan Lewis Carroll, cermin bawa kemungkinan sebuah dunia baharu. Ia boleh menduakan karakter melalui salinan imej, atau menggandakan kekeliruan dalaman, menunjukkan keangkuhan, dan menyerlahkan kekurangan. Ia boleh jadi sesuatu yang mewah, menawan atau menggambarkan realiti yang telah diubah. Di dalam tangan master seperti Douglas Sirk, Martin Scorcese, Rainer Werner Fassbinder, John M. Stahl, Alfred Hitchcock dan Bernardo Bertolucci, cermin menjadi satu alat yang suci – informatif dan indah. Tentu ada lagi filem-filem lain yang ada adegan cermin di dalamnya tapi aku bukan bercakap tentang kemunculan rawak. Ini adalah pengarah-pengarah hebat yang menggunakan cermin untuk memperlihatkan realiti serba kompleks. Bukan filem yang tertera di bawah sahaja yang menggunakan teknik ini kerana aku hanya pilih filem yang terlintas di kepala dan gambarnya senang untuk aku cari bagi menunjukkan kegunaannya:

Bernardo Bertolucci’s “The Dreamers” (2003): Cermin sebagai Simbol Penekanan

The Dreamers (2003)

Lihat kesan triptych (penterjemah: gambar yang mempunyai tiga panel diletakkan bersebelahan) halus pada tiga karakter utama sewaktu mereka sedang mandi bersama. Adegan dan filem ini sendiri adalah homaj kepada kawan tiga serangkai yang terkenal dalam filem Francois Truffaut tahun 1962, “Jules et Jim”, filem yang dirujuk berkali-kali dalam “The Dreamers”. Watak utama perempuan, Isabelle (Eva Green), dilihat dalam bingkai-pegun ini sebagai satu tarikan seksual di antara kawan dan adik lelakinya. Ia adalah kaleidoskop Freudian kepada seksualiti remaja pra-matang yang keliru. Adik dan kakak mencerminkan satu sama lain dalam keadaan yang haru-biru. Ada satu masa, watak utamanya, Matthew kata, “Korang ni macam dua sisi dari satu jasad yang sama.” Cermin menekankan, menunjukkan hubungan di antara karakter-karakter tersebut. Suasana politik yang sedang berkocak dan zaman kebebasan Paris 1968 menjadi latar filem ini, sementara pemberontakan pelajar dan permulaan sinema arus baharu dijadikan tirainya. Bingkai pegun yang aku letak ini berlaku lebih kurang satu atau dua saat sebelum Isabelle meliuk lentur tubuhnya ke tab mandi. Filem ini mungkin dilihat lucah kepada yang belum pernah menontonnya, tapi ianya bukanlah tentang adegan yang sarat dengan seks. Ia tentang semangat keakraban, penemuan dan meraikan semangat keremajaan. Lebih dari itu, filem ini tentang kematangan, dan apa ertinya memikul beban menjadi dewasa.

Rainer Werner Fassbinder “Lola” (1981): Cermin sebagai Simbol Kepalsuan

Barbara Sukowa sedang bergincu di dalam filem Rainer Werner Fassbinder “Lola” (1981)

“Lola” adalah filem kedua dalam “Trilogi BRD” yang berkisar tentang situasi Jerman pasca perang. Bingkai-pegun yang menunjukkan penyanyi kabaret-pelacur berada di kamarnya adalah Lola, ahli perniagaan korup tapi tampak jujur, berlaku sekitar Jerman era 1950-an, ketika ekonomi negara itu sedang meletus. Tapi “Lola” menunjukkan kita masyarakat yang goblok, di mana segala-galanya baik dari kontrak bangunan hinggalah ke seks dijadikan barang dagangan. Kaum borjuis naik kepala dengan segala macam penipuan, pembunuhan, sepak terajang dan komplot terkutuk – tak ada sesiapa yang suci di sini. Fassbinder cipta skema warna Sirkian yang jelas lucah dan keras. Latar belakang dan pencahayaan neon-lavender, kuning-biru dan hijau itu memberi efek yang sama seperti cermin, menekankan setiap elemen yang wujud. Ia cantik tapi pada masa yang sama grostek. Mewah dan murah. Glamor dan berlebihan, art-house dan kitsch. Kita lihat Lola mengenakan gincu, sementara sang jejaka memerhatinya dari belakang. Cermin itu menunjukkan semacam satu kepalsuan sedang berlaku. Berlaku bila seseorang itu menepekkan sesuatu dimukanya, menyembunyikan realiti yang dibawahnya, sama seperti ahli perniagaan yang bermuka-muka. Pastinya Fassbinder sendiri mendapat inspirasi daripada filem klasik 1930 arahan Josef von Sternberg, “The Blue Angel” yang memaparkan seorang penyanyi lounge manipulatif yang menipu dan memalukan seorang guru tempatan skema dengan memperlekehkannya.

Alain Resnais “Last Year at Marienbad” (1961): Cermin sebagai Simbol Retakan Realiti

Giorgio Albertazzi memandang Delphine Seyrig dalam Alain Resnais “Last Year at Marienbad” (1961)

Sudah terang lagi bersuluh yang struktrur naratif filem ini terpecah dan mengelirukan (tapi cantik). Salah satu filem menarik yang pernah umat manusia buat. Ada banyak adegan cantik yang sukar untuk kita pastikan samada ianya nyata atau sekadar refleksi cermin. Premis filem bermula di sebuah hotel. Seorang lelaki mendekati seorang perempuan dan mendakwa pernah berjumpa setahun yang lepas di Marienbad. Dia kata perempuan itu ada di sini kerana menunggunya. Malangnya perempuan itu mendakwa pula tidak pernah terserempak dengan lelaki tersebut. Filem ini kerap menggunakan suara latar, frasa, dan adegan yang sama. (Satu jenis keretakan dan penggandaan). Tracking shot menangkap imej koridor di hotel dan susur gajah sambil disulam dengan aksi-aksi aneh yang nampak tak berkaitan. Imej di atas sangat lawa. Ia menggaulkan rasa takut, nafsu dan bimbang ke arah sekuen pengulangan visual seperti sebuah mimpi yang mengasyikkan. Filem ini seperti sebuah babak panjang surrealisme dan lukisan M.C. Escher yang diletakkan dalam seluloid. Pada takah tertentu, filem ini tentang bagaimana kita melihat dan apa yang filem atau fotografi lakukan atas sesuatu benda. Ada beza besar dengan melihat dan memerhati. Cuba fikir macam ini; kalau lah cermin itu tak ada dalam adegan di atas, hanya sekadar seorang lelaki memerhatikan seorang perempuan, maka ianya hanya sekadar imej biasa. Ada  benda, ada gambaran tentang benda, dan ada imej atau ikon yang dicipta dengan penuh seni bila kita berjaya menangkap benda/situasi tersebut. Ia macam lukisan Rene Magritte iaitu “The Treachery of Images”, sebuah lukisan tentang paip dengan terukir ayat “Ceci n’est pas une pipe” (Ini bukan paip) di bawahnya. Ya, ianya paip, tapi bukan paip yang betul. Hanya idealisasi kepada sebatang paip. Paip yang berenang di atas lautan kanvas, seperti mana versi idealnya yang terapung di dalam minda. Satu representasi, pengganti, penanda – seperti mana semua filem yang lain. Semua filem adalah idealisasi kepada kehidupan itu sendiri. Tak ada yang real. Filem boleh memprojeksikan sesuatu yang ad infinitum, seperti cermin di dalam cermin di dalam cermin, sampai diri kau tenggelam hilang di dalamnya.

John M. Stahl “Leave Her To Heaven” (1946): Cermin sebagai Simbol Kecantikan dan Narsisisme

Kecantikan Gene Tierney yang tak terkalahkan dalam John Stahl “Leave Her to Heaven” (1946)

Ellen Berendt (lakonan Gene Tierney) melihat cermin bulat yang menangkap keseluruhan imejnya dengan sempurna. Perempuan ini psikopat. Kita telah melihatnya sewaktu dia menyaksikan adik suaminya sendiri mati lemas. Kita tonton adegan kerja mengejar gila di tangga. Dia terlampau sayang kepada ayahnya dan cuba untuk merosakkan kehidupan adik perempuannya. Dalam beberapa syot ini kita dapat tangkap sekali imbas benda yang internal, kacau bilau dan cantik. Ini mungkin persembahan Tierney yang paling hebat. Ya, syot ini menunjukkan wajah sebenar seorang perempuan dramatik yang kuat cemburu sehinggakan sanggup untuk memusnahkan sesiapa sahaja yang ada hubungan dengan lelaki yang dia cinta. Cinta untuknya adalah campuran antara obsesi dan paranoia, saudara kembar kepada narsisisme. Kredit patut diberi kepada Stahl di mana dia menggunakan adegan cermin ini untuk menunjukkan kesungguhan Ellen yang cekal – perempuan yang bertopeng. Tak ada yang boleh menghalangnya, termasuklah hati nuraninya sendiri. Apa yang lebih menarik adalah betapa cantiknya Tierney waktu itu. Ada banyak pelakon perempuan yang cantik yang lahir sejak zaman bisu lagi, sehingga lah ke tahun 1940-an, tapi kecantikan Tierney menutup filem Technicolor yang terang dengan warna-warna pastel, paisley dan corak bunga bunga pada kertas dinding dan perabot, membuatkan lokasi semulajadi yang mewah itu dilindungi hanya dengan kehadirannya. Memang penggunaan cermin oleh Stahl dirujuk kemudiannya oleh Douglas Sirk dalam remake “Magnificent Obsession” (1954), “Written On the Wind” (1956), dan “All Heaven Allows” (1955). Sirk juga menjadi obsesi kepada Fassbinder. Hampir kebanyakan filem-filem terakhir Stahl mencipta adegan yang menjadi batu loncatan kepada adegan-adegan yang lain selepas itu.

Martin Scorsese “The Age of Innocence” (1993): Cermin sebagai Simbol Hubungan

Adegan yang menyayat hati di antara Daniel Day-Lewis dengan Winona Ryder dalam “The Age of Innocence” (1993)

Newland Archer (Daniel Day Lewis), seorang suami yang semakin berjarak dengan pasangannya, berdiri untuk menyambut isterinya May (Winona Ryder) sebaik sahaja perempuan itu masuk ke dalam kamar belajarnya. Lelaki tersebut sedang membaca, dan angau memikirkan tentang Countess Ellen Olenska (Michelle Pfeiffer). Archer nak melarikan diri dari gaya hidup skema masyarakat awal New York, untuk dia bersama dengan perempuan yang dia cinta. Adegan ini sangat mempesona, seperti mana keseluruhan filem ini, dari kredit pembukaannya yang sarat dengan kain renda hinggalah ke shot dalaman rumah-rumah mewah. Sangat senang kalau nak tengok jarak dan kesedihan dalam adegan yang suram ini. Satu cermin besar tergantung di antara kedua-dua pasangan ini, yang mana menegaskan akan keterasingan mereka. Tapi cuba lihat bagaimana mereka juga terikat dengan refleksi May di dalam cermin. Pada tahap tertentu, ia meletakkan May pada sudut yang lebih tinggi dari suaminya. Wajahnya menunduk, tapi lebih tinggi kalau nak dibandingkan dengan Archer bila direfleksikan di dalam cermin. Ianya adalah satu sentuhan halus dari Scorsese, mencadangkan bahawa hero yang kita kenal sangat ini tidaklah terlalu berwibawa kalau nak dibandingkan dengan isterinya. Keindahan cerita ini juga terletak kepada bagaimana kita mencerminkan Archer. Seperti Archer juga, kita fikir yang May ini cantik, sopan-santun, cetek dan jenis tak melawan. Di penghujung filem, kita ditenggelami seperti mana suaminya dengan tindakan dan cinta yang tak berbelah bahagi oleh sang isteri. Kita juga tak sedar akan keanggunan sang isteri. Ada adegan lain lagi di dalam filem ini, di mana Newland melihat May di dalam satu siri imbasan imej virtual. Dia tunggang-terbalik dalam lensa kamera, kemudian dikanankan, kemudian direfleksikan pada cermin kamera, kemudian digandakan menjadi tiga imej cerminan dibelakanganya, dan akhirnya sebagai visi feminin Victoria yang sedang pose di dalam studio. Ianya menawan.

Tom Ford “A Single Man” (2009): Cermin sebagai Simbol Kesunyian

Julianne Moore sedang mengenakan mekap di dalam Tom Ford “A Single Man” (2009)

Secara keseluruhannya, adegan ini tidaklah penting mana pun. Tentang Charley, seorang watak pembantu yang dilakonkan oleh Julianne Moore. Tapi aku mahu mula dengan penerangan adegan yang tak sempat aku screen capture. Adegan permulaan. Filem ini mengambil masa satu hari pada tahun 1962. Kita melihat seorang watak utama, George (Colin Firth), seorang guru pertengahan usia yang sedang redha dengan pemergian cintanya, Jim. Filem bermula dengan imej cermin George, yang sedang bermimpi. Dia melihat ke luar jendela rumahnya, ke arah halaman belakang di mana kita tengok imej Jim dan masa-masa gembiranya. Ianya satu momen yang muram dan halus untuk menunjukkan betapa malangnya nasib George ketika ini. Kemudian ada syot dalaman George, masih melihat ke halaman belakang rumahnya, dengan refleksinya imejnya sendiri yang kelihatan pucat. Selepas usai mengajar murid-muridnya yang memang tak minat nak belajar, George berbual dengan rakannya Charley di telefon, dan George setuju untuk datang ke rumahnya. Charley cuba untuk tunjuk gembira, tapi sebenarnya, dia pun sama dirundung malang seperti George. Lihat bagaimana dia dikelilingi oleh imejnya sendiri. Cermin di dalam cermin. Setiap benda di dalam bilik tersebut memberi idea tentang keteraturan, kegembiraan – baik dari warnanya, sehinggalah ke paparan berbilah-bambu yang cantik itu. Tapi itu semua hanyalah selubung, tak kiralah betapa mewahnya hiasan atau cantiknya mekap yang diguna pakai. Adegan ini membayangkan seorang perempuan yang berada di kemuncak gangguan jiwa yang sedang terpecah. Charley dan George adalah pasangan ennui yang nyata.

Douglas Sirk “Written On the Wind” (1956): Cermin sebagai Simbol Estetika

Lauren Bacall memandang Robert Stack dan Rock Hudson dalam “Written On the Wind” (1956)

Perlu diakui yang Sirk adalah guru cermin, menggunakannya untuk memberi nuansa kepada hampir kesemua filem yang dibikin beliau. “Written On the Wind” adalah cerita tentang dua orang kawan dan cinta mereka pada perempuan yang sama, Lucy Moore (lakonan Lauren Bacall). Di sini kita lihat Lucy memerhatikan kedua-dua lelaki tersebut, Mitch Wayne (Rock Hudson) dan Kyle Hadley (Robert Stack), anak kepada bangsawan minyak kaya. Dia akhirnya berkahwin dengan Kyle, tapi terkejut melihatkan Kyle semakin lemah semangat, malas dan pemabuk. Apa yang menarik tentang adegan ini adalah susunan dan skema warnanya. Warna pastel dengan botol perfume pelbagai warna, dibezakan dengan separuh bingkai lagi dengan sinaran emas hangat, panel kayu dan warna kuning air. Di sini kita lihat hubungan bercempera melalui refleksi cermin, Wayne memandang ke hadapan, kelihatan kasual, yakin dan steady dengan sut coklatnya. Dia dibezakan dengan Kyle yang tengah panas, dalam warna biru-kekelabuan, dengan belakangnya memandang kamera, dan sedang berjalan. Ia fokus tiga segi. Penggunaan cermin adalah satu ciri terkenal dalam gaya visual Sirk – yang mana selalu ada jendela yang terbuka, permukaan yang berkilat, warna-warna yang culas, angin (yang digunakan oleh Sirk dalam plot “Leave Her to Heaven”), bingkai, ambang pintu, dan elemen seni bina seperti tiang. Menggunakan cermin boleh jadi satu cara yang dinamik untuk mengasingkan karakter di dalam bingkai. Ia bagi semacam satu perspektif bawah-sedar. Dalam gambar di atas, kita lihat seorang perempuan stabil yang berada di tengah-tengah pertempuran halus antara dua jejaka. Ia juga satu pandangan yang melibatkan kita selaku pemerhati keempat. Refleksi kita adalah satu pertanyaan teoretikal: Mana satu karakter yang seperti kita? Kita tak ada pandangan serba tahu. Kita tak melihat dari sudut Lucy mahupun kedua-dua lelaki tersebut. Sudut pandang kita adalah selalu seorang lagi manusia lain di dalam bilik tersebut, memandang kepada Lucy. Satu susunan yang hebat.

Alfred Hitchcock “Vertigo” (1958): Cermin sebagai Simbol Ilusi

Kim Novak dan Jimmy Stewart dalam filem Alfred Hitchcock “Vertigo” (1958)

Imej bercermin banyak sekali di dalam Vertigo – samada Judy Barton/Madeleine Elster (Kim Novak) duduk di bangku muzium memandang potret seorang perempuan yang menyerupainya, atau John “Scottie” Ferguson berdiri di atas menara loceng menyerupai silhuet siluetnya yang sedang terjatuh ketika mimpinya sewaktu dia demam. Aku masih ingat yang aku rasa tersentuh gila bila pertama kali aku tengok filem ini. Ianya bukan pasal plot atau twist yang buat aku kagum sangat, tapi adegan di mana ilusi Scottie berderai.  Hitchcock boleh saja menamatkan filem ini lebih awal, dengan membuka pekung rahsia yang besar, tapi memilih untuk fokus kepada apa rasanya untuk meingini seseorang, dan bagaimana ilusi berkerja untuk minda kita. Kalau nak diikutkan plot cerita, Scottie jatuh cinta kepada seorang perempuang yang bukan seperti perempuan yang dia sangkakan. Selepas dia percaya perempuan tersebut mati, dia jumpa perempuan “penipu” ini lagi (tak tahu perempuan itu siapa pada mulanya), dan cuba untuk mengubahnya dengan representasi asal yang palsu. Judy yang sebenar jatuh hati pada Scottie, tapi kemudian dinamik berubah. Adegan di atas menunjukkan Judy yang sebenar, yang menyamar menjadi Madeleine (kita tak pernah lihatnya sepanjang filem), melihat dirinya sendiri – tapi Scottie hanya nampak Madeleine sang perempuan ini yang berpura-pura menyamar. Ini satu pengajaran tentang reality, fiksyen, mimpi dan kepalsuan kepada realisasi. Hanya ada seorang perempuan di dalam cermin, tapi Scottie dan Judy melihat imej yang maha berbeza.

******

Diterjemahkan dari tulisan David D. Robbins Jr. dari The Fade Out.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s