Wawancara László Krasznahorkai

László Krasznahorkai

Laszlo Krasznahorkai dilahirkan di Gyula, Hungary, pada tahun 1954. Beliau telah menulis lima novel dan beberapa koleksi esei dan cerpen. Beliau lebih dikenali hasil daripada kerjasamanya dengan pengarah filem terkenal Hungary, Bela Tarr, yang mengadaptasikan novelnya ke filem.

Pada tahun 2000, George Szirtes, penyajak British kelahiran Hungary – yang menjadi pengantara bagi wawancara ini melalui emel – telah menterjemahkan novelnya, ‘The Melancholy of Resistance’, yang merupakan novel pertama beliau yang diterjemah ke bahasa Inggeris. Kehebatan Laszlo Krasznahorkai diakui oleh Susan Sontag (sebagai penulis kontemporari Hungary yang mahir dalam menukil dan melukis suasana ‘kemusnahan dunia’) dan W.G Sebald (dunia Laszlo Krasznahorkai begitu universal sehingga boleh menyaingi ‘Dead Soul’ Gogol dan karya kontemporari lainnya). Kutipan pandangan kedua-dua penulis tersebut dinyatakan pada blurb novel tersebut. Kini, Laszlo Krasznahorkai diiktiraf sebagai penulis terpenting dekad ini.

Kemeriahan akibat lahirnya Satantango (diterjemahkan oleh Szirtes) menyebabkan Laszro Krasznahorkai didekati oleh ‘hipster’ sastera di Housing Works Bookstore di New York City, di mana ketika itu James Wood sedang melakukan wawancara dengannya. “Keghairahan terhadap karya Krasznahorkai adalah disebabkan ianya ditulis dalam bentuk yang asli yang dicipta olehnya sendiri…”, begitulah pandangan novelis Adam Thirlwell dalam New York Review of Books. ‘Tiada yang dapat menyamai karya Krasznahorkai dalam dunia kesusasteraan kontemporari kini.’

James Wood dalam kolumnya di New Yorker pada tahun 2012,  menempatkan Krasznahorkai bersama-sama dengan penulis terbaik selepas perang seperti Thomas Bernhard, Claude Simon, dan David Foster Wallace. Walaupun terdapat ciri kesamaan antara karya-karya Krasznahorkai (pembentukan ayat-ayatnya yang panjang, dan kelihatan sangat ‘hidup’), karya-karyanya juga dianggap sebagai unik, pelik, dan khas, di samping tidak meminggirkan estetika.

George Szirtes yang menterjemahkan tiga karya Krasznahorkai ke dalam bahasa Inggeris, menggelar karyanya seperti ‘aliran lava dalam naratif yang bergerak perlahan, menuju sungai besar yang hitam.’ Ayat dalam karya Krasznahorkai, menurut beliau, akan membuatkan pembaca seperti ‘keluar masuk bilik bawah tanah, di samping melalui bucu dan jalan sempit yang gelap’.

Bulan ini, New Directions menerbitkan karyanya yang terbaru, iaitu Seiobo There Below (diterjemahkan oleh Ottilie Mulzet). Kami (The White Review) sangat gembira dapat menyiarkan satu bab novel tersebut bersama wawancara ini dalam edisi kali ini.

Apa yang anda fikirkan jika berbicara mengenai kelebihan dan keburukan kegiatan penterjemahan? Atau ‘bahaya’nya?

Saya tidak akan berbicara dan memberi pendapat mengenai kelebihan dan keburukan kegiatan terjemahan kerana bagi saya yang lebih penting dan perlu diambil perhatian ialah mengenai persoalan ‘bahaya’nya kegiatan penterjemahan. ‘Bahaya’nya tidak wujud sama sekali. Bagi saya, sesebuah karya terjemahan tidak akan dapat menepati dan bercirikan dengan karya asal yang ditulis dalam bahasa yang asal. Keadaan sebeginilah yang boleh dikatakan ‘absurd’ dalam terjemahan. Karya terjemahan merupakan karya si penterjemah, bukannya karya penulis asal. Karya penulis asal merupakan sebuah karya yang mengandungi dan membentuk ciri dan kekhasannya yang tersendiri sepertimana yang ditulis dalam bahasa asal penulis tersebut. Manakala, karya terjemahan pula merupakan ‘karya baru’ yang ditulis mengikut bahasa yang mudah dipakai atau diguna oleh si penterjemah, (lagak penterjemah seperti seorang komposer), yang mana karya terjemahan tersebut hampir menyamai karya asal (seperti mana ahli keluarga menyerupai ahli keluarga yang lain). Jika sesebuah karya terjemahan dihadapkan di hadapan penulis asal tersebut, maka dia hanya akan melihat keserasian karya terjemahan tersebut dengan karya yang ditulisnya. Jiwanya akan berantakan jika karya terjemahan tersebut tidak menepati karya asal dan kelihatan buruk, dan sebaliknya akan tenteram jika karya terjemahan itu kelihatan serasi dengan jiwanya dan kelihatan baik dari pandangan mata batin. Saya pernah mengalami keadaan jiwa yang berantakan tersebut apabila melihat karya saya yang diterjemahkan ke bahasa German, iaitu War and War sehinggakan saya berfikir adalah mustahil untuk mengedit atau mengubahnya lagi. Jadi, siapa yang akan membuat terjemahan baru terhadap karya tersebut? Sudah tentu susah dan kesulitan sekali untuk mencipta terjemahan baharu. Tetapi selain karya saya yang diterjemahkan dalam bahasa German tersebut, semua karya saya yang lainnya telah diterjemahkan dengan  baik dan kualitinya begitu memuaskan saya. Dan perlu diingat, itu kerana saya mempunyai penterjemah yang bagus.

Mengapa anda memilih untuk tinggal di Berlin?

Semenjak tahun 1987 lagi saya sudah tinggal di bandar tersebut, dan sebelumya lagi saya sudah mempunyai hubungan yang sangat erat dengan bandar Berlin. Berlin Barat sudah seperti syurga bagi jiwa yang menderita. Pelbagai jenis artis seni dan sesiapa yang berkeinginan untuk menjadi artis seni juga menjadikan Berlin sebagai tempat yang sesuai untuk melakukan kerja kesenian mereka. Wujudnya persekitaran kesenian yang sangat indah dan mententeramkan jika saya berkesempatan duduk bersama artis-artis tersebut dalam sebuah bar, dan duduk di meja yang sama dengan mereka, yang sebahagiannya saya sudah anggap seperti sebuah keluarga. Hubungan tersebut masih kekal hingga ke hari ini. Walaupun begitu, sekarang saya sudah tidak dapat lagi merasakan suasana tersebut. Kini, bandar tersebut seolah-olah menjadi tempat bagi segelintir artis untuk menjual kerja kesenian mereka semata-mata tanpa menghiraukan proses penciptaannya. Dan jika itu sudah terjadi, maka apa bezanya antara ‘di sini’ dan ‘di sana’?

Bagaimana anda berlatih untuk menulis?

Sebenarnya saya tidak hanya duduk di sesuatu tempat kerja sahaja, contohnya hanya dengan duduk di meja tulis, dan saya tidak akan merenung lama pada skrin komputer dengan harapan akan mendapat idea. Saya sudah menganggap dalam kepala saya bahawa kesusasteraan merupakan kerja saya yang sesungguhnya. Apabila saya mula untuk menulis, saya akan selalu berada dalam kesulitan. Saya tidak ada meja khas untuk menulis dan tidak pernah keseorangan ketika menulis. Jadi ayat-ayat permulaan bagi sesebuah perenggan hanya bermain-main dalam kepala saya sahaja, dan jika saya sudah yakin dengan permulaan ayat-ayat tersebut, maka baharulah saya akan membuatnya menjadi perenggan sehingga ke titik akhir. Dan proses tersebut kesemuanya berlaku dalam bayangan dalam kepala saya sahaja, dan jika sudah sempurna, baharulah saya mula menulis. Itulah cara saya menulis sehingga ke hari ini, dan tempat dan meja menulis saya berada di mana-mana, serta tidak mengira masa. Boleh dikatakan bahawa saya menulis sepanjang masa. Saya tidak membetulkan perkataan dan ayat tertentu secara formal kerana semuanya sudah ditulis dalam kepala saya.

Apakah bahan bacaan anda selain daripada karya Kafka?

Apabila saya tidak membaca karya Kafka, saya akan berfikir mengenai Kafka. Jika saya tidak berfikir mengenai Kafka, saya rindu untuk berfikir mengenai Kafka. Apabila saya merasakan bahawa saya sudah lama tidak berfikir mengenai Kafka dan rindu untuk berfikir mengenai Kafka, maka saya akan membaca karya-karyanya semula. Keadaan tersebut berlaku juga dengan penulis lain yang saya gemari seperti Homer, Dante, Dostoyevski, Proust, Ezra Pound, Beckett, Thomas Bernhard, Attila József, Sándor Weöres and Pilinszky.

Satantango nampaknya begitu dikenali dan dibaca sekarang? Anda fikir mengapa? Adakah sesuatu terjadi pada dunia atau kesusasteraan yang membuka jendela bagi Satantango untuk keluar berhadapan dengan pembaca?

Saya merasakan bahawa pembaca pada mulanya mengenali filem Satantango Bela Tarr dan diri saya terlebih dahulu. Pembaca yang sudah membaca The Melancholy of Resistance, War and War dan Animalinside menunggu untuk membaca Satantango. Dan perkara ini ada kaitannya juga dengan masa penerbitan. Pembaca mahukan karya kesusasteraan sebenar, dan Satantango merupakan jawapannya. Pembaca mahu lari daripada karya kesusasteraan yang konon-kononnya berada pada tingkat eksperimental tahap tinggi (tetapi masih kelihatan agak formal sebenarnya) dan kelihatan baru dan mengghairahkan. Pembaca mahukan karya yang memperkatakan sesuatu mengenai dunia. Pembaca mahukan sesuatu selain daripada hiburan semata-mata, dan pembaca yang bukannya mahu keluar dan mengelak dari dunia, tetapi ingin hidup ‘bersamanya’ untuk mengetahui bahawa mereka sebenarnya sebahagian daripada dunia, dan pembaca mahukan karya yang diulit ‘keresahan’ dan ‘gangguan’ yang dinukil dengan indah. Saya ingin menegaskan bahawa kita sebenarnya tidak ada apa yang dikatakan sebagai kesusasteraan agung (great literature). Tetapi pembaca mahukan karya sebegitu yang bukan dianggap sebagai ‘ubat’ atau delusi bagi mereka, tetapi kerana mereka memerlukan seseorang yang boleh memberitahu mereka bahawa sebenarnya tidak ada ‘ubat’ untuk keresahan dunia.

Mengapa anda merasakan bahawa sangat penting untuk memerihalkan dan memetakan sesuatu keadaan atau perkara dengan jelas danmengetahui sesuatu lokasi dengan tepat?

Kerana perlunya dan mustahak untuk mengetahui di mana sebenarnya ‘sesuatu’ itu. Dan ‘sesuatu’ itu kita tahu akan kewujudannya jika kita mengetahui di mana ‘ianya’ berada.

Sejak anda menulis sehinggalah karya anda diterbitkan (terutamanya Satantango), adakah anda dapat merasakan betapa jauhnya jarak anda dengan ‘dunia’? Terutamanya dengan keadaan dunia sekarang (2013)?

Suasana dan keadaan ‘dunia’ nampaknya mengejutkan. Segala-galanya kelihatan berubah dan pada masa yang sama, segala-galanya masih sama. Fikirkan mengenai permukaan sungai yang deras yang kelihatan berbuih dan menggelegak, di mana buih-buih tersebut kadang-kadang menyatu dengan segumpalan buih yang lain, membentuk, dan berpisah kembali. Saya merenung buih-buih tersebut dan cuba untuk memberi perhatian terhadap sebentuk buih sahaja, dan sudah tentu ianya mustahil. Kadang-kadang kita hanya nampak keseluruhannya sahaja tetapi pada masa yang sama, masih juga kita merasakan perbezaan antara bahagian dalam keseluruhan tersebut (umpama keadaan buih yang dinyatakan). Tetapi yang pastinya keseluruhan tersebut tidak wujud, apatah lagi sebahagian. Jadi sebenarnya ‘apa’ dalam keadaan tersebut? Ada ‘sesuatu’ yang sentiasa berubah, dan mesti selalu berubah. Dan ianya, di luar tangkapan Manusia.

******

Terjemahan ini adalah wawancara antara George Szirtes dengan László Krasznahorkai yang disiarkan di The White Review.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s