Love Letter (1995)

1. Seorang perempuan terbaring sedang menahan nafas. Ada gugusan salji mengelus mukanya dengan perlahan. Dia bingkas bangun sambil mendongakkan kepala ke dada langit. Matanya terkatup. Kemudiannya kita mendengar skor muzik yang menderu perlahan. Kamera menjauhi tubuh perempuan tersebut sambil kita dibawa menikmati landskap di satu pergunungan salji. Perempuan itu pun bergerak ke sebuah perkampungan berdekatan. Makin lama makin kecil jasadnya di skrin. Makin lama makin berjarak.

2. Love Letter (1995) adalah filem pertama Shunji Iwai, pengarah kelahiran matahari terbit.

3. Perempuan itu namanya Hiroko Watanabe (Miho Nakayama), yang telah dua tahun kematian tunangnya, Itsuki Fujii  sewaktu mendaki gunung. Beliau sedang menghadiri upacara peringatan. Sewaktu singgah di rumah bakal/bekas (?) mak mertuanya, Hiroko terjumpa buku tahunan Itsuki dan dapat tahu alamat rumah lamanya. Hiroko lantas memutuskan untuk menulis surat kepada bekas tunangnya dan menghantarnya ke alamat rumah tersebut, biarpun mendapat tahu kawasan rumah tersebut sudah dibina lebuhraya.

4. Hiroko adalah pungguk yang masih merindui bulannya si Itsuki. Atas takdir Yang Maha Esa (atau mungkin dalam cerita ini, Yang Maha Shinto), suratnya berbalas. Tanpa disangka, rupanya ada seorang lagi manusia yang bernama Itsukii Fuji. Cuma kali ini jantinanya adalah perempuan. Tanpa disangka lagi, Itsuki Fujii seorang perempuan ini pernah satu sekolah dengan Itsuki Fujii seorang lelaki.

5. Ini kisah cinta dua orang perempuan pada seorang lelaki yang sama. Yang satu sempat bersama Itsuki sebelum lelaki tersebut mati. Yang satu lagi sempat bersama sebelum lelaki tersebut pindah sekolah. Konflik timbul bila Hiroko rasa cemburu mengenangkan pertemuan (dan perpisahan) antara dua jasad yang berkongsi satu nama. Tambahan, Hiroko tak begitu mengenal tunangnya dan Itsuki pula adalan enigma.

6. Itsuki Fujii seorang lelaki dalam cerita ini hanya ditonjolkan wataknya sewaktu dia bersekolah dengan Itsuki Fujii seorang perempuan. Dan watak Itsuki Fujii turut dilakonkan oleh Miho Nakayama yang memegang watak Hiroko Watanabe.

7. Ini adalah kisah tentang seorang kekasih yang merindui kekasihnya, kisah seorang perempuan yang cuba mengenal wajah, tingkah laku, personaliti kekasihnya melalui memori seorang perempuan yang berkongsi nama, momen dan sedikit bibit cinta yang tak terjelaskan.

8. Adegan terakhir apabila Hiroko menjeritkan nama tunangnya adalah simbol bahawa Hiroko sudah bersedia melepaskan Itsuki-nya pergi. Paling tidak pun, meneruskan sebuah kehidupan baru.

9. Saya selalu lihat (di dalam filem) upacara meraikan kematian di Jepun itu selalu diiringi dengan upacara makan-makan (adegan makan ayam goreng yang tampak menyelerakan dalam filem Departures), minum arak dan sebagainya. Sama juga adegan seks dalam kebanyakan novel Murakami (Norwegian Wood, The Wind-Up Bird Chronicle, Sputnik Sweetheart). Berbeza dengan tradisi Melayu-Muslim di mana ada upacara talkin, tak boleh tengok TV selama tiga hari. Saya tak mempersoalkan yang mana satu lebih wajar/baik atau tidak, tapi entahlah, agaknya orang Jepun  ini sendiri lebih melankoli dalam meraikan sebuah kehilangan.

10. Filem ini biarpun menyentuh tema tentang kematian, kehilangan, kenangan masa lalu, namun beruntunglah ia tak jatuh dalam jurang melodrama. Ia macam duduk depan unggun api, sementara ada salji deras mengetuk luar jendela. Dan kita selaku penonton menikmati secangkir kopi sambil cicah biskut kering dan berbual hal-hal banal dengan pasangan. Sebegitu intim sekali.

11. Ia macam About Time arahan Richard Curtis tapi ada salji.

12. “Cinta mungkin bermula dengan salah faham, saya fikir, dan ianya berakhir bila manusia saling memahami.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s