Wawancara dengan Apichatpong Weerasethakul – Simbol Transformasi

Apichatpong Weerasethakul

Bila kau first time masuk bidang filem ini?

Aku belajar filem dekat Chicago pada tahun 1994. Aku cuba nak cari benda apa yang aku selesa. Antaranya, aku cuba melukis tapi filem lebih menarik untuk aku. Sinema seperti satu bentuk perlindungan, aku sangat-sangat pemalu orangnya – aku rasa sinema itu macam perisai. Kalau kau letak aku dalam satu kelompok yang ramai gila, aku serius tak tahu nak buat apa. Tapi kalau kau letak kamera depan aku, benda tu jadi macam orang tengah. Jadi diari aku dan wadah untuk aku berkomunikasi. Nasib baik lah kursus dekat Chicago itu lebih tertumpu kepada filem eksperimental, yang aku tak tahu pun kewujudannya sebelum ini, jadi ia membuka mata aku: untuk melihat sebahagian filem Len Lye, untuk menyedari yang sinema boleh jadi satu hal yang peribadi – macam Bruce Bailie, Jonas Mekas, yang buat filem macam budak-budak, dengan jujur. Mereka semua teruja dengan seluloid.

Benda apa kau tonton waktu kau kecil?

Aku tengok semua jenis filem. Waktu sampai umur yang aku dah putuskan untuk buat filem, waktu itu hanya ada kamera VHS – ia dah dijual tapi aku tak mampu nak beli. Maka ada hasrat nak bikin filem sendiri. Mak aku, macam mak orang lain juga, shoot menggunakan Super 8. Dia akan tayangkan sekurang-kurangnya satu filem sekali sebulan, pada hujung minggu. Kami satu keluarga akan duduk atas satu katil besar yang kami ada untuk menontonnya. Filem-filem itu adalah tentang keluarganya yang dia sunting sendiri.

Kemudian tahun 1980 ada Spielberg, Lucas. Waktu umur aku 16 atau 17 tahun aku sangat gilakan filem seram Amerika Syarikat. Bila kami pergi ke Bangkok ada satu kedai video istimewa. Aku minta mereka filem yang pelik-pelik, tapi mereka bagi Fellini 8 ½. Sebab aku tak ada banyak tape, aku tengok berulang kali, dan Coppola punya The Conversation, sampailah aku sukakannya dan boleh ingat setiap potongan.

Filem terbaru anda “Uncle Boonmee” terhasil dari lewahan sebuah projek besar dipanggil Primitive, yang termasuk didalamnya instalasi galeri. Boleh kau cakap sikit pasal itu.

Primitive bermula dari minat aku untuk pergi balik ke utara-selatan Thailand, di mana asal-usul aku itu, dengan kesedihan aku, dan betapa terdesaknya aku untuk reflek balik apa yang hilang, apa yang tinggal. Selepas pengalaman mengarahkan Syndromes and a Century, tribut untuk kedua ibubapa aku, dan selepas filem tersebut ditapis, aku makin sedar betapa Thailand telah banyak berubah, dan macam mana negara ini dikawal oleh kerajaan – macam mana kita dimanipulasikan. Jadi kembara itu untuk aku memahami tempat tersebut dan aspek sosialnya, untuk berjumpa dengan penduduknya. Filem lagi sekali lagi dijadikan alasan, alat untuk komunikasi – ia paksa aku tengok dunia luar.

Kau ada skrip untuk “Uncle Boonmee”?

Aku ada skrip untuk minta dana. Ia lebih jelas untuk filem ini, kerana ada naratif kalau nak dibandingkan dengan filem sebelum ini. Selalunya, aku akan shoot dengan tegas, gaya klasik sebab filem itu merujuk kepada gaya tersebut. Macam mana pun, itu bukan gaya aku, jadi rasa macam pelik sangat. Ada satu masa aku sendiri tak tahu apa yang aku buat. Selang beberapa lama, terutamanya waktu proses penyuntingan, benda itu jadi clear.

Kau suka berkerja dengan pelakon bukan-profesional. Kenapa?

Pelakon bawa banyak persona dari filem-filem mereka sebelumnya, dan juga persona di ruang awam. Kau akan rasa pelik. Bukan-profesional bawa kehidupan yang aku tak ada. Sakda Kaewbuadee, yang bermain watak sami (dalam Uncle Boonmee) buat banyak kerja – DJ, sami, askar, pelayan KFC, dan kerani dekat kedai 7/11 – jadi mamat ini ada pengalaman yang aku tak ada. Aku rasa aku belajar banyak dari mereka yang aku cuba nak ekspresikannya di dalam filem. Cara mereka makan, cara mereka berjalan dan bercakap. Thanapat Saisaymar (yang melakonkan watak Uncle Boonmee) ada idea tentang lakonan, jadi bila kamera roll, dia berubah. Aku terpaksa cakap, “Tengok, lihat cara kau berjalan – Aku nak macam itu.”

Kau bercerita macam mana filem itu dibahagikan kepada 20 gelendong (reel), setiap satunya tribut kepada pelbagai gaya yang ada dalam sinema.

Bila aku terangkan, bunyinya nampak sistematik, tapi sebenarnya ianya sangat spontan. Ia satu benda yang tak dijangka akan berlaku nanti, secara automatiknya, bila kami menyiapkan proses bunyi.

Adakah adegan puteri itu (di mana dia melakukan hubungan seks dengan ikan duri) ada kaitan dengan kisah dongeng di kalangan masyarakat Thailand?

Ia tak datang dari kisah dongeng tertentu, tapi adalah satu kebiasaan untuk ada binatang yang boleh bercakap, orang istana dan askar. Seks itu memang idea aku lah. Filem-filem macam ini pernah dibuat di Thailand dulu, tapi sekarang dah tak ada lagi. Kita masih lagi boleh menontonnya di kaca TV, tapi kan tak sama – sekarang ini mereka banyak guna kesan digital.

Ada elemen sains fiksyen yang kuat dalam Primitive dan “Uncle Boonmee” – hatta dalam semua hasil kerja anda juga.

Aku suka karya Arthur C. Clarke, Asimov, Ray Bradburry – generasi itu sangat emosional. Mereka berurusan dengan hal yang paling asas tentang manusia. Idea tentang hubungan manusia pada masa hadapan juga aku hubungkan dengan Buddhism. Bagi aku, Buddhism bukan agama, tapi cara kita melihat dunia.

Boleh kau jelaskan macam mana Buddhism membentuk persepsi kau?

Buddhism sangat berguna bila bapa aku mati. Aku sangat marah waktu aku buat Tropical Malady. Aku macam raksasa dekat set, sampai aku rasa yang aku perlu lepaskan segala kemarahan aku dan letakkannya dalam filem. Tapi lepas itu aku berubah. Dalam erti kata lain, Syndromes and a Century, merupakan filem yang paling damai buat aku dan semua orang dekat set. Aku semakin tertarik dengan idea kitaran dan transformasi.

Dalam Buddhism ada cakap yang kita ini selalu berubah. Aku bukan orang yang sama dua minit yang lalu, jadi masa itu lerai. Untuk sedar akan diri dan persekitaran di sekeliling kau adalah untuk menyedari elemen tentang waktu.

Tempat menjadi satu kepentingan utama dalam filem-filem anda.

Dunia diinspirasikan atau dibina dari lokasi. Cerita boleh datang kemudian. Uncle Boonmee terutamanya sangat spesifik, satu di antara sedikit filem-filem Thailand yang ada dialek utara-selatan. Bila kami tayangkan di Bangkok, kami terpaksa letak sarikata bahasa Thailand.

Adakah kau satu hari nanti akan shooting di luar Thailand – di London, misalnya?

Jujurnya aku sendiri tak dapat nak bayangkan. Aku seperti pelancong sekiranya berada di luar Thailand. Bila aku tinggal di Chicago dulu, aku tak rasa terinspirasi selama empat tahun, sebab aku tak ada hubungan dengan orang dan bandar dekat sana. Tapi selepas mengembara selama beberapa tahun, aku dapat rasakannya sedikit. Sebagai contoh aku mungkin dapat inspirasi sikit sewaktu di bandar Mexico atau Spain. Mungkin benda ini satu jenis ketidakaturan. Aku nikmatinya – lebih dari apa yang aku biasa lalui. Ia bukan British.

******

Perbualan Apichatpong Weerasethakul dengan Kieron Corless sewaktu beliau melawat UK untuk Festival Filem London. Diterjemahkan dari Sight & Sound vol 20 isu 12 (Disember 2010).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s