Terbaik dari Langit (2014)

1. Terbaik dari Langit ini merupakan karya kedua dari sekumpulan kawan yang sebelumnya pernah menerbitkan filem Kil ( yang pernah memenangi beberapa anugerah di Festival Filem Malaysia ke 26 seperti anugerah Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik).

2. Dari sinopsis di Wikipedia, “Berg (Bront Palarae), seorang pembikin filem avant-garde bersama empat rakannya yang memulakan pengembaraan ke sebuah lokasi di mana di situlah dia telah menyaksikan apa yang dia percaya sebagai sebuah UFO sekitar 15 tahun lalu. Dengan misi untuk merakam objek tersebut dalam sebuah filem, mereka kemudiannya menyedari yang pengembaraan itu lebih daripada apa yang mereka sangkakan.”

3. Kalau kita perhati dengan teliti, filem Terbaik dari Langit ini bukan sekadar sebuah filem pengembaraan jalanan, tetapi ada sedikit elemen sains fiksyen dan filem di dalam filem. Tema filem di dalam filem ini dapat kita telusuri di dalam filem Kil melalui paparan filem pendek lakonan/arahan Hasnul Rahmat. Satu tema yang konsisten dengan suara pembikin-pembikinnya dan amat saya suka/hargai.

4. Babak-babak awal di dalam filem ini sudah membuktikan betapa sayangnya watak-watak Terbaik di Langit ini dengan sebuah medium bernama filem sekaligus juga represent suara pembikinnya (lakon layar oleh saudara Redza Minhat sementara pengarahnya ialah Nik Amir Mustapha). Dan ini disampaikan melalui beberapa watak pinggiran di dalam filem seperti yang kita lihat di trailer (antaranya Dain Said dan Mamat Khalid).

5. Namun, ini lah masalahnya. Setidak-tidaknya bagi saya. Yang pertama, saya setuju dengan beberapa pandangan/kritikan yang dilontarkan terutamanya perihal mutu lakonan, filem dan industri filem itu sendiri. Tapi penggunaan pengarah seperti Dain Said dan Mamat Khalid (antaranya) nampak macam tak cool. Tak radikal. Seolah-olah mahu justify bahawa kritikan yang disampaikan melalui watak-watak pinggiran ini betul (logik saya – kerana Dain Said dan Mamat Said ini sudah well-establish dalam membuat filem-filem yang ‘bagus’). Biarpun di dalam filem ini tidak lah pula isu-isu ini dibincangkan dengan lebih dalam/serius dan tidak juga menuntaskan kritikan itu betul atau salah (kerana ini memang bukan tujuan utama Berg dan kawan-kawannnya pun – mereka cuma nak cari UFO untuk shoot filem eksperimental). Ia hanya disampaikan melalui suara mereka yang sudah membikin filem-filem yang dianggap ‘terbaik’, ‘bagus’ dan pengarah-pengarahnya punya sesuatu untuk disampaikan.

6. Bagi saya, kalau la isu-isu meta berkaitan dengan industri filem dan sebagainya disampaikan oleh orang biasa, lagi nampak menarik. Setidak-tidaknya, boleh bagi satu kenyataan bahawa rakyat Malaysia sekarang ini pun sudah celik filem, tahu mana filem yang memandaikan bangsa dan mana yang tak. Pembikinnya tentu boleh cakap yang watak-watak pinggiran yang mengutarakan isu ini berdiri sebagai watak pinggiran – Mamat Khalid sebagai pemandu lori misalnya. Namun, karakter-karakter ini ada beban sejarahnya (di luar filem). Ia tak berdiri sendiri, dan pengarang tak pernah mati.

7. Pengkarya yang baik haruslah sensitif terhadap permasalahan yang berlaku pada masyarakatnya, pada zamannya dan ini haruslah diangkat dengan cermat dan dalam masa yang sama menghiburkan. Karya yang baik juga harus melawan status quo. Untuk pengetahuan terus bergerak, kritikan harus terus sambung-menyambung. Ia tak boleh mati pada satu takah tertentu saja. Biarpun kritikan ini terhadap (filem) Dain Said atau Mamat Khalid atau siapa-siapa pun. Tap, kritik kena ada ilmu ya. Jangan fakta entah ke mana, logik bersepah, falasi jadi mainan retorik (Banyak juga ulasan yang main retorik ini dengan langgam bahasa yang langsung tak memikat- Ianya membazir dan tak fungsional. Melainkan estetika itu menjadi satu-satu fungsinya sahaja. Rujuk gaya Goenawan menulis dalam Catatan Pinggirnya. Itu hebat).

8. Kalau ikut sinopsis, Watak Berg (lakonan Bront Palarae) ini dikatakan sebagai pembikin filem avant-garde. Tapi fakta itu macam tak sampai. Kita hanya dibekalkan dengan cubaan amatur untuk membikin filem di saat awal filem bermula kemudian filem pendek Berg yang di layarnya terisi dengan imej kapak melekat pada tunggul kayu. Jadi avant-garde tu apa? Selain itu, watak Berg ini diberi gambaran sebagai seorang yang bergelut dengan ketagihan dadah – Telan pil dan suntik lengan dengan jarum, namun rupa-rupanya tidak. Tapi cara Berg menyembunyikan penyakit beliau (saya tak ingat penyakit apa. maaf ya) dari kawan-kawannya nampak mengada-ada. Dia tak nak bagitahu tapi dalam masa yang sama, ada sedikit perasaan tertuang untuk dilimpahkan. Mungkin secara subtle. Ia macam budak yang meroyan putus cinta kemudian menulis di Twitter yang dia baca Sartre lepas putus cinta kemudian menuduh yang lain meroyan putus cinta (kerana tak deep/tak baca buku falsafah??)

9. Cubaan Berg yang digambarkan sebagai seseorang yang ketagihan dadah kemudian dinyatakan tidak nampak macam tone-down kan karakter Berg. Namun saya juga faham dengan kekangan yang ada seperti Finas, LPF, sensitiviti masyarakat. Saya tak ada masalah sekiranya Berg ini nak berkarya dengan bantuan-bantuan bahan kimia ke apa (masalah maksud saya adalah implikasi moral) namun saya akan bertanya balik untuk menghasilkan sebuah karya yang bagus, perlu ke seorang pengkarya itu kena ambil dadah, ganja, sedih, depress, suicidal, etc?

10. Tak pasti kenapa Berg terlempar di dalam cakerawala semesta selepas dia high (ke makan ubat?)

11. “Aku tak nak jadi orang lain. Aku cuma nak jadi aku saja.” – Berg. Lebih kurang macam tu lah kut dialognya dengan Ijam (Iedil Putra). Macam Ijam sendiri cakap, kalau semua orang sibuk nak jadi unik, akhirnya semua orang sama je lah. Tak ada yang bezanya. Dalam dunia yang semua orang sibuk nak berselfie, nak menayangkan apa yang mereka ada, nak menjadi sesuatu yang unik di dalam aplikasi media sosial – Twitter, Instagram, Facebook, saya kira ini satu titik penting dalam melihat kompleksiti individu yang cuba mencari tempat berpijaknya di tengah hiruk pikuk kebisingan masyarakat. Ianya bukan lagi, “Siapa aku?” tapi “Siapa aku di mata kau?”

12. Dan inti penting nak jadi diri sendiri ini, nak kejar passion kita, nak meninggalkan segalanya dalam masa yang sama mencari segalanya, agak tenggelam dengan konflik persahabatan yang tak sudah-sudah. Penat nak melayan watak-watak lelaki yang sukar nak uruskan masalah (dan emosi) mereka.

13. Dekat sini la datangnya watak Sofea Jane (Nadiya Nisaa) dan watak Sharifah Amani (tak ingat apa nama watak dia dalam filem ini, sorry, hehe). Despite sifat jantina perempuan ini lebih emosi dan ekspresif dengan perasaan mereka berbanding kaum lelaki, mereka lah yang memberi suara-suara rasional kepada watak-watak lelaki di dalam Terbaik di Langit. Selainnya nihil. Watak Sofea Jane dan Sharifah Amani ni tak berdimensi betul. Unless kita kata watak satu tak dimensi/satu dimensi ini boleh dikira berdimensi juga – Hujah deconstructionist, ad infinitum punya circular reasoning.

14. Waktu Berg dan rakan-rakannya masih bersekolah, cikgunya pernah tegur kalau nak buat filem, buat lah filem yang elok. Jangan buat filem sampah. So, soalan saya, apakah itu filem sampah, filem seni, filem avant-garde, filem eksperimental? Dekat mana garisannya? Atau secara mudahnya, filem ada dua jenis saja. Filem yang bagus dan filem yang tak. Di sini lah pembikin, penulis, intelektual, penerbit dan masyarakat kena berdiskusi. Bagi saya, filem yang baik adalah filem yang represent semangat zaman tersebut dan kegelisahan suara pembikinnya. Kalau buat filem tapi hanya gelisah dengan kutipan wang ringgit, tapi tidak dengan nasib masyarakatnya, tak perlu lah nak bermimpi nak bina tamadun besar-besar.

15. Filem ini berjaya kerana semua watak-wataknya rasa natural berkat dengan kemahiran berlakon mereka dibantu oleh lakon layar Redza Minhat. Sebuah ensemble cast yang baik. Tak ada watak yang tenggelam atau melebihi antara satu dan yang lain. Dialognya terasa lebih natural kalau nak dibandingkan dengan Kil. Dan lawak jenakanya tajam menyindir orang-orang yang berkenaan. Tak ada berlapik-lapik lagi. Tajam dan witty.

16. Kawan kata Toyu tu dalam bahasa Utara maksudnya kicap, ambil reference kulit Amerul Affendi. Dan dari dulu lagi saya memang suka lakonannya. Kepada pengarah dan penerbit drama/telefilem/filem, ambil la dia ni berlakon. Sampai bila nak ambil pelakon hensem tapi kayu sahaja?

17. Sinematografi oleh Jordan Chiam dan suntingan Rewan Ishak memang lawa, berada dalam kelasnya yang tersendiri. Skema warnanya memang standard filem-filem luar negara. Terutama syot waktu ramai-ramai berenang sambil dipanah remang cahaya mentari yang kian tenggelam. Lawa betul. Lagu latar yang dibikin oleh kumpulan Pitahati sangat-sangat membantu memberi nuansa dalam filem ini.

18. Ini sebuah filem Malaysia yang baik, yang patut ditonton di skrin besar dan dinikmati kemudian diperbincangkan lagi. =)

19. “Kita semua harus menerima kenyataan, tapi menerima kenyataan saja adalah pekerjaan manusia yang tak mampu lagi berkembang. Karena manusia juga bisa membikin kenyataan-kenyataan baru. Kalau tak ada orang mau membikin kenyataan-kenyataan baru, maka “kemajuan” sebagai kata dan makna sepatutnya dihapuskan dari kamus umat manusia” – Pramoedya Ananta Toer

20. Sorry panjang sangat.

p/s: Betulkan saya sekiranya saya salah anggap apa-apa fakta di dalam filem ini seperti watak Berg yang digambarkan sebagai seseorang yang ketagihan dadah itu.

p/s2: Megat Sharizal ada mengatakan bahawa Berg mengambil ubat Morhpine Sulphate yang saya terlepas pandang. Ubat ini untuk kegunaan kanser kalau tidak silap saya. Maka, mungkin sebab itulah Berg ‘high’. Minta maaf di atas salah faham.

2 thoughts on “Terbaik dari Langit (2014)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s