Harakiri (1962)

Judul filem ini, ‘Harakiri’ (bunuh diri) dirasa sangat menyentuh. Menyentuh dalam erti kata, sanggup berpisah dengan dunia yang didiami, pergi ke satu dunia, yang entah tidak tahu di mana, bila. Mungkin maknanya lebih dari itu, lebih dari persoalan jasad semata-mata. Berbeza dengan ‘Seppuku’, menyebutnya sebagai HA-RA-KI-RI dilihat sangat ‘jiwa’ dengan maksud bunuh diri tersebut, mungkin juga sangat maskulin, berbeza dengan menyebutnya sebagai SEP-PU-KU. Atau lain? Entahlah, saya bukan orang Jepun.

Mesti ada keberanian untuk menceraikan jasad dari roh, atau persoalan yang lebih jauh untuk direnung, adakah ‘bunuh diri’ itu suatu keberanian? Atau sahaja sifat pengecut untuk tidak rasa bertanggungjawab dengan yang lain? Bacul untuk mengakui ‘diri’? Atau tidak malukah dengan Tuhan, atau siapa-siapa yang memberikanmu tubuh, untuk diraikan, tetapi mahu membuangnya jauh-jauh, seolah-olah yang penting, hanya persoalan roh? Tetapi dalam filem ini,

Masaki Kobayashi tampil lebih jauh dari titik benget tersebut. Beliau menentang segala apa yang klise mengenai bunuh diri. Erti bunuh diri itu sendiri diterbalikkannya. Sampai pada suku filem, kita sendiri lupa mengenai bunuh diri tersebut. Kita akan lebih teruja dengan naratif, bukan sahaja naratif filem, tetapi juga naratif watak. Naratif filem seakan-akan selari dengan naratif watak, seumpama benang halus yang jika kita memegangnya, kita lupa akan akan gelung benang (persoalan bunuh diri tersebut).

Masaki Kobayashi membawa cerita zaman silam, saya tidak tahu bila, mungkin semasa zaman feudal dan patriaki yang masih mekar, masuk ke nafas kontemporari. Beginilah agaknya lagak seorang penenun benang yang hebat, mana-mana cerita zaman silam, senang sahaja diadunnya. Warna benang yang berwarna-warni, mudah sahaja digayakannya menjadi sebuah kain.

Pada permulaan filem, kita ditunjukkan dengan sebuah imej patung yang lagaknya seperti seorang pahlawan, atau dalam tradisi Jepun, samurai. Saya fikir imej ini sangat penting, apatah lagi imej ini dibiarkan lama, seingat saya hampir puluhan saat, sehingga imej tersebut dibiarkan tinggal dalam kegelapan. Permulaan yang sangat menggugah bagi sebuah filem yang temanya, kita tahu, pasti bunuh diri, tetapi malang, kerana habis melihat filem ini, saya merasakan patung samurai tersebut, gah hanya kerana pelindung besinya, namun ‘jiwa’, atau ‘roh’ yang dilindung, hanya sebuah kepura-puraan.

Apatah lagi, salah sebuah watak dalam filem ini, iaitu Tsugumo Hanshiro (Tatsuya Nakadai), senang sahaja mengangkat patung tersebut, dan diranapkannya ke lantai. Simbol jahanam! Feudal pecah! Kejatuhan pelindung Tsugumo, (mana-mana samurai mempunyai master nya yang tersendiri), membuatkan Tsugumo berkeliaran mencari nafkah hidup, terutama untuk anak perempuannya. Di sini, kita nampak percik-percik autoriti sudah terbias. Saya pelik, mengapa bunuh diri perlu dilakukan di tempat yang spesifik, dengan segala ritual. Mungkin itulah tradisi silam Jepun, tetapi mengapa? Mengapa tidak bunuh diri sahaja di rumah, atau di tepi sungai atau tasik? Mengapa perlu ritual? Tetapi, bagi Masaki Kobayashi, tempat yang spesifik dan ritual ini kelebihan baginya. Bukan sahaja menggunakan kesempatan ritual tersebut, malah berjaya menjungkirbalik ritual tersebut.

Dalam filem ini, tempat tersebut digelar Li Clan. Li Clan, ibarat sebuah istana, dicemar dengan mudahnya oleh Masaki Kobayashi, melalui samurainya sendiri, Tsugumo Hanshiro. Ketika Tsugumo Hanshiro mengamuk-amuk dalam Li Clan, saya terbayangkan adegan dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Jebat, yang juga turut amuk dalam istana Melaka. Tetapi Hang Jebat, amukannya tanpa punca, jika betul berpunca pun, asasnya hanya rebung lemah dan lembik. Amuk Hang Jebat juga dilihat tidak meruntuhkan sistem autoriti langsung. Yang digegarnya hanya tiang istana. Langsung mungkin kerana itu, cerita-cerita seolah-olah hanya desas-desus, pijakannya di bumi nyata tidak kejap.

Tetapi Masaki Kobayashi menawarkan lebih daripada itu. Samurai-samurainya dalam filem ini bertempur dengan cara yang sangat sinikal. Tiang istana retak hanya dengan omong Tsugumo. Kita lihat bagaimana Tsugumo menangguhkan adegan bunuh dirinya (yang sebenarnya, tidak pun ingin dilakukannya), dengan bercerita kepada penguasa, iaitu Saito Kageyu (Rentaro Mikuni) mengenai kisah keluarganya, iaitu Chijiwa Motome (Akira Ishihama) dan Miho Tsugumo (Shima Iwashita). Cerita dalam cerita, ironi kini dihiris. Sebelum itu, Chijiwa Motome juga datang ke Li Clan untuk melakukan Harakiri. Tetapi Chijiwa bukan seorang samurai, jadi Harakiri nya dianggap sebagai sia-sia.

Dalam tradisi Harakiri Jepun, seorang samurai harus menggunakan pedangnya sendiri, iaitu dengan menusuk sendiri pedang tersebut ke dalam perut, lalu ditoreh ke kanan, sebelum kepala dipenggal oleh penguasa. Tetapi aneh, kenapa penguasa tidak memikirkan bahawa Chijiwa bukanlah samurai sebenar, kerana Chijiwa yang datang ke Li Clan, hanya membawa pedang yang dibuat dari buluh Bambu. Terus, dengan naratif yang diujarnya, Tsugumo menyindir penguasa. Hanya dengan cerita yang dibawa oleh Tsugumo, penguasa rasa terpalit, dengan najisnya sendiri.

Di sini kehebatan pembikin filem Jepun, seperti mana Akira Kurosawa dalam Rashomon, kita menikmati alur naratif filem melalui cerita-cerita yang dibawa oleh watak. Tsugumo mentertawakan kebodohan penguasa tersebut, lalu menyesali, kenapa dia sendiri memilih menjadi seorang samurai. Kita fikir, pahlawan mana pun, darahnya tetap pahlawan, hatta ketika berada di hujung nafas. Di titik ini, falsafah yang dipegang Masaki Kobayashi lebih ternampakkan. Apa-pun yang dipegang, semasa dalam keutuhan, seperti mana halnya ketika Tsugumo menjadi samurai agung, akan lerai diinjak ketiadaan. Mungkin juga Masaki Kobayashi ingin memaklumkan lanskap selepas perang di Jepun, di mana watak-watak yang ditindas semasa perang, terus ditindas. kemanusiaan tidak menimpanya.

Tetapi saya lebih suka melihat bagaimana autoriti dirombak sehabis mungkin, dengan cara yang sangat halus, dalam filem ini, sudah tentu kehalusan cerita yang dibawa oleh Tsugumo. Namun sudah lumrah, penguasa yang dilihat malu-malu alah kebodohan, tidak mungkin ingin autoritinya mudah-mudah dicerca. Maka, Tsugumo jatuh. Namun, jatuhannya dilihat sangat megah, kerana lambang samurai yang selama ini dipegang dan diyakininya, sendiri dipecahnya. Saya menikmati filem ini, dan saya suka Masaki Kobayashi.  =)

2 thoughts on “Harakiri (1962)

    • Eh, baru perasan komen. Hehe.
      Semua filem-filem Masaki Kobayashi menarik. Kritik pada sistem feudal Jepun.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s