Court (2015)

court-movie-poster

Sukar untuk meletakkan filem dari India ini sebagai sebuah ‘court drama’ atau tidak. Yang terzahir di fikiran usai menonton adalah ia sebuah karya yang hebat dan menyeronokkan.

Maka tak hairan la filem ini berjaya merangkul anugerah Filem Terbaik di dalam kategori Horizon sempena Festival Filem Antarabangsa Venice yang ke-71, Best Feature Film di Anugerah Filem Kebangsaan India yang ke-62 dan juga menjadi taruhan India untuk anugerah Oscar yang ke-88 bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik (malangnya tak disenarai pendek).

Naskhah yang ditulis dan merupakan arahan sulung Chaitanya Tamhane ini berkisar tentang Narayan Kamble, penyanyi lagu rakyat-aktivis-penyair berusia 65 tahun yang dituduh menjadi punca insiden bunuh diri seorang pencuci kumbahan najis. Nak dijadikan cerita, Narayan didakwa bertanggungjawab ke atas kejadian bunuh diri lelaki tersebut – melalui lagu-lagu yang dinyanyikannya sewaktu sesi pementasan pentas yang diadakan berdekatan dengan tempat tinggal lelaki tersebut.

Tuduhan ini memang nampak absurd dan aneh di mata kita. Apatah lagi Narayan hanyalah seorang lelaki yang lanjut usia. Kendatipun begitu, situasi ala Kafka-esque begini tidaklah jauh bezanya yang saban hari menguak realiti masyarakat Malaysia.

Dalam konteks filem ini pula, ia suatu hal yang serius dan dalam masa yang sama kelakar.

Serius dalam melihat isu kesendengan sistem kehakiman/perundangan di India. Kelakar dalam membogelkan ironi-ironi yang timbul dari kompleksiti masalah tersebut.

Biarpun situasi yang menimpa Narayan menjadi titik tolak naratif, namun tak seperti kelaziman filem-filem ‘court drama’ yang lain, ia bukanlah menjadi tunjang utama kepada pergerakan cerita di dalam filem ini. Sebaliknya tertumpu kepada kisah hidup di luar mahkamah tiga orang watak lain yang mengendalikan kes beliau. Peguam bela Viray Nora, pendakwaraya Nutan dan hakim Sadavarte (hanya di penghujung kisah).

Di kebanyakan waktu, naratif Viray dan Nutan diserlahkan melalui pembalikan imej diri masing-masing. Viray adalah seorang peguam lelaki yang boleh dikatakan hidup senang. Manakalah Nutan yang juga seorang isteri perlu mencari nafkah menjaga suaminya yang sakit dan tanggungan mereka berdua. Mungkin di dalam filem yang lain, Viray akan ditonjolkan sebagai seorang peguam kaya yang angkuh, yang mampu membeli apa sahaja, yang tidak memahami kesulitan mereka yang berada di kelas sosial yang lebih bawah. Tapi, di dalam filem ini tidak begitu.

Nutan pula bukanlah watak antagonis tipikal yang seringkali kita lihat dalam filem sebegini. Dan beliau bukannya jahat pun. Meskipun berkongsi kelas etnik yang sama iaitu Marathi (dan juga status ekonomi) dengan Narayan, beliau cuma tidak dapat memahami atau lebih tepatnya memilih untuk tidak mempedulikan betapa absurdnya pertuduhan yang dikenakan ke atas Narayan. Walaupun kita rasa wataknya menjengkelkan (pada saya), tapi filem ini tidak cuba-cuba mempermainkan sentimen itu.

Hal ini yang menjadikan filem ini lebih menarik. Ia langsung tak menghukum sesiapa. Ia membuka ruang-ruang yang ada untuk kita memahami setiap watak yang wujud di dalam filem. Mereka adalah simptom-kesan-akibat di dalam sesebuah sistem yang sedang pincang ini.

Mereka juga, seperti Narayan, terperangkap di dalam kebobrokan raksasa Leviathan ini – Negara.

Ada beberapa adegan yang kelakar.

1. Ketika Viray dan rakan Narayan menemui pegawai polis yang menyiasat kes tersebut dan bertanyakan atas tuduhan apa Narayan ditangkap, pegawai polis tersebut memberitahu kepada rakan Narayan bahawa dia telah menjelaskan kepadanya sewaktu proses penangkapan tersebut. Rakan Narayan menafikannya. Dan kita selaku penonton pun tahu, ia tidak dijelaskan. Foreshadow yang bijak akan masalah-masalah yang berlaku di dalam sistem perundangan di India di dalam filem ini.

2.Sewaktu Viray memberikan ceramah mengenai kes-kes hak asasi yang beliau telah kendalikan semakin panas, ada orang bawa kipas ke tempat ahli panel sedang duduk. Kelakar sebab secara literalnya, dewan tersebut mungkin panas sebab cuaca dan padat dengan manusia, atau metaforikal sebab isunya menyoal kepincangan kuasa sistem perundangan di India.

3. Narayan pernah dikenakan hukuman di Dramatic Performances Act yang mana menurut Viray, akta ini telah sekian lama wujud sejak 1876. Sewaktu zaman India masih lagi menjadi sebahagian dari koloni British. Sudah tentu, akta ini perlu disemak semula dari segi kontekstual dan relevannya di dalam India pasca-penjajahan (post-colonial). Serupa la dengan satu akta drakonian di sebuah negeri atas angin suatu masa dahulu.

Tapi Nutan pula membantah mengatakan bahawa argumen itu tidak valid. Kalau sudah di dalam kanon undang-undang, maka ia adalah sah dan tidak perlu dipersoalkan lagi. Haha. Agaknya, bagi Nutan, moral yang kita imani ini bukan ditentukan oleh Negara/State. Wujud dalam vakum.

Dalam banyak hal, Nutan ini adalah watak pasif dalam sebuah negara-hukum. Memperiya dan memperakukan kezaliman sebuah kekuasaan atas nama keamanan yang diperolok-olokkan, dimomokkan kepada masyarakat awam.

4. Viray dipukul di luar frame oleh sebuah komuniti kerana mempersoalkan kepercayaan lapuk komuniti tersebut di dalam mahkamah.

Seperti mana Viray dan Nutan, naratif hakim Sadavarte juga adalah pembalikan imej kepada kehidupan Narayan. Ini dapat kita fahami jika kita melihat hubungan di antara adegan awal filem dan adegan terakhir filem.

Tambahan, kebanyakan pelakon di dalam filem ini adalah pelakon non-profesional dan ada yang pertama kali berlakon. Tapi masih memberikan lakonan yang bermutu dan natural.

Sebuah filem yang powerful sebab mengangkat tema yang berat dengan cara yang sederhana.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s