Hanky-Panky Festival Filem Malaysia

Artikel ini ditulis oleh Anna ‘N Hanna dan diterbitkan oleh Majalah Massa bilangan 1, Jun, 1982.

68300318_2439824496300113_5289776391422738432_o

Telah dua festival filem berlalu yang dianjurkan oleh EJA (Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia). Apakah itu Festival Filem EJA atau Festival Filem Malaysia, pokoknya itu peristiwa nasional yang menerima penghargaan Jabatan Penyiaran Malaysia, menyiarkannya secara langsung melalui TV Malaysia ketika acara kemuncaknya ‘Malam Merak Kayangan’ diadakan. Paling hangat, peristiwa ini menerima kecaman paling hebat pada tahun lalu bila berlakunya peristiwa ‘cium-mencium’ di kalangan artis di tengah-tengah khalayak majlis. Dan acara itu menjadi hilang hormat bila mengenepikan protokol serta tidak mengendahkan tetamu kehormat, Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Siapakah EJA yang menganjurkan festival ini? EJA bukanlah mewakili seluruh wartawan hiburan di Malaysia. Ahli-ahlinya hanya terdiri dari wartawan yang berkaum-kerabat, yang bilangannya tidak sampai 20 orang, pakat-pakat sesama sendiri untuk buat festival. Untuk apa buat festival? Kenapa EJA menjalankan kegiatannya setakat mengadakan festival filem saja? Tidakkah ada aktiviti lain yang lebih berfaedah untuk ahli-ahli yang boleh dijalankan? Kenapa bila Perbadanan Kemajuan Perfileman Nasional Malaysia (FINAS) mengadakan ‘Bengkel Kritikan Filem’ maka EJA baru tergerak hati hendak mengadakan aktiviti ‘Forum EJA’ yang lebih kurang serupa dengan itu?

Sementara itu terdapat beberapa wartawan hiburan yang menjadi anggota EJA menulis di akhbar masing-masing, memperkecil-kecilkan segala usaha yang FINAS lakukan dengan tujuan semata-mata hendak memperkecil, merendah atau seolah-olah menghina apa saja yang dilakukan oleh FINAS semuanya tidak betul, tidak kena cara atau tidak sesuai. Apa yang EJA lakukan selama ini unutk kehidupan filem di Malaysia selain dari mengadakan festival yang hanya untuk memenuhkan poket mereka sendiri? EJA cuba menjadi hero perkembangan filem Malaysia seolah-olah mahu menidakkan kewujudan FINAS. Segala kegiatan FINAS tidak diberi publisiti oleh ahli-ahli EJA dan mereka memulaukannya.

EJA cuma sebuah badan kecil yang namanya menjadi hangat bila setiap kegiatan yang dibuatnya berseiring dengan menghebahkan ramai artis baik pelakon atau penyanyi turut terlibat dengannya. Mereka seperti mengancam – tanpa EJA seseorang artis itu tidak akan popular. Inilah penyakit besar dunia hiburan kita. Ada yang mulai merajai dan ego dengan kehadirannya. Sampailah pada Festival Filem Malaysia – EJA merasakannya tanpa EJA festival itu akan gagal.

Memang hakikat yang akan dihadapi oleh FINAS bila menganjurkan Festival Filem Malaysia kali ketiga sebagai mengambil alih dari EJA akan menghadapi segala macam halangan dan mungkin saja menemui kegagalan. Wartawan-wartawan hiburan yang menganggotai EJA sudah pasti akan memulaukan festival itu dan tidak akan memberikan banyak publisiti seperti publisiti ketika EJA anjurkan dulu. Kalaupun mereka menulis mengenai festival kali ini, sudah pasti mereka akan mengkritik habis-habisan bagi menunjukkan pada umum bahawa FINAS tidak mampu dan gagal mengadakan festival. Mereka boleh buat semuanya ini kerana mereka merasa akhbar adalah milik mereka. Hal demikian telah diduga.

Mengenang kembali Festival Filem Malaysia Kedua 1981 – nyatalah EJA sebagai penganjur masih belum memahami segala macam hal, selok-belok yang berhubung dengan festival dan perfileman itu sendiri. Dua tulisan yang mengulas festival ini boleh dijadikan penilaian yang menarik mengapa festival itu gagal.

M. HANAFIAH A. SAMAD dalam rencananya ‘Festival Filem: Laporan lengkap perlu umumkan’, dalam Berita Minggu 26 April, menyatakan: Untuk apa festival diadakan? Menjadikannya sebagai medan sabung ayam untuk melihat siapa lebih jagoan? Apakah pada yang menang, ‘award’ dianggap sebagai simbol status? Sistem pengadilan dianggap lemah. Pemilihan pengadil yang tidak kena pada orangnya. Semua hal yang di atas itu tadi telah menjadi sebahagian daripada faktor mengapa festival itu tidak bermutu, lemah dah hilang perspektif.

Di dalam rencana itu Hanafiah telah mempertikaikan keputusan pengadil yang dianggapnya meragukan, sambil memberi alasan mengapa Sarimah boleh memenangi Hadiah Pelakon Wanita Terbaik sedangkan Rubiah Suparman adalah pelakon yang lebih ‘out-standing’ darinya. Memang lucu, S. Shamsuddin memenangi hadiah Pelakon Komedi Terbaik dari filem ‘heavy drama’. Tidakkah menghairankan M. Jamil tiba-tiba saja terpilih sebagai ‘Pelakon Lelaki Berbakat’ dengan tidak ragu-ragu menumpaskan Ahmad Tarmimi Serigar yang hampir seluruh hidupnya berada di dalam bidang lakonan. Dan paling mengejutkan filem DIA IBUKU membolot 9 award Merak Kayangan.

Majalah AKTUIL di Indonesia dalam keluarannya 11 Mei 1981 turut mengulas Festival Filem Malaysia Kedua ini, dan menganggap festival itu masih dalam taraf ‘kelas kuaci’. Mungkin ini suatu penghinaan. Tetapi orang belum tentu akan menghina kalau sesuatu itu tidak terhina di matanya.

AKTUIL mengatakan: Dalam Festival Filem Pertama, Jin Shamsuddin membolot Merak Kayangan dan dikatakan Jins telah membahagi-bahagikan wang jerih payah penilaian pada juri. Dan pada FFM kedua ini Merak Kayangan diborong oleh Sarimah, aktres yang sudah dimakan zaman. AKTUIL mempertikai kemenangan Sarimah sebagai Pelakon Wanita Terbaik dan menganggap DIA IBUKU filem yang tak layak dinilai terlalu tinggi. Kalau benarlah laporan AKTUIL, Jins Shamsuddin memberi komentar: “Kali ini saya tidak dapat apa-apa kerana saya tidak punya filem dan wang, jadi apa boleh buat.”

Dan AKTUIL melaporkan, seorang produser filem yang kecewa melihat cara penelitian FFM membuat komen, “siapa yang mahu mengorbankan wang perusahannya kepada Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia dia memperoleh gelaran.” Lalu AKTUIL berpendapat: Festival adalah suatu arena adu bakat, adu kecantikan dan pamer pakaian di antara para bintang filem. Kalau itulah caranya orang Malaysia berkerja, patutlah diberikan taraf ‘kelas kuaci’ saja bagi festival itu.

Dengan dua rencana iaitu M. Hanafiah A. Samada dan majalah AKTUIL yang bukan saja mempertikaikan sistem dan mutu pengadilan para juri yang memilih pemenang Merak Kayangan, malahan bentuk dan cara festival itu sendiri dilaksanakan masih terlalu banyak cacat-celanya sehingga tidak terlihat gaya profesionalnya. Anehnya, EJA sebagai penganjur tidak memberi sebarang reaksi terhadap dua tulisan yang amat tajam dan sinis itu. Kenapa? Adakah EJA tidak mampu mempertentangkan fikiran bagi ‘mengia’ atau ‘menidakkan’ telahan yang kritis dari dua tulisan itu? EJA seperti menyerah diri pada tirani.

Rupanya orang yang entah kena mengena atau tidak dengan EJA tiba-tiba muncul memprotes marah-marah terhadap tulisan itu yang nadanya semacam nada orang EJA saja. Wartawan veteran yang digelar sebagai TOKOH BUDAYAWAN, Puan Azah Aziz telah menyerang balik tulisan M. Hanafiah A. Samad. Sementara Suhaimi Hamid pula menyerang tulisan AKTUIL.

Seperti yang umum telah baca, nyatalah jawapan yang bersifat serangan peribadi terhadap Hanafiah itu terkeluar dari pokok perbicaraan. Mungkin pengetahuannya tentang perfileman tidak sebanyak seperti bidang kebudayaan, maka tidaklah hairan kalau Hanafiah menari joget tetapi Puan Azah menari ronggeng. Kalau Puan Azah agak sinis mengatakan Hanafiah sebagai ‘wartawan handalan’ tetapi Suhaimi Hamid agak kasar mengecap wartawan AKTUIL sebagai ‘wartawan goblok’. Yang nyata, kedua-dua penulis ini tidak menghormati ‘etika kewartawanan’.

Dengan pemberian hadiah wang tunai sebanyak $35,000 (untuk Filem Terbaik, Aktor dan Aktres serta Pengarah Terbaik), di samping beberapa bantuan yang lain dari kerajaan, maka dari kegagalan yang lalu sudah selayaknya Festival Filem Malaysia buat masa-masa yang akan datang dikelolakan oleh kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Perfileman Malaysia. Kalau EJA menentang FINAS menganjurkan festival ini maka dengan sendirinya EJA adalah menentang kerajaan. Dengan terdapatnya beberapa orang wartawan anggota EJA yang memperkecil-kecilkan usaha dan jerih payah FINAS maka dengan sendiri tidakkah mereka ini memperkecil-kecil dan menidakkan usaha-usaha kerajaan?

Yang penting, festival filem yang akan datang hendaklah belajar dari segala kelemahan dan kesilapan yang berlaku pada festival yang lalu. Segala kecacatan dan keburukan di dalam festival itu hendaklah dibaiki sehingga segala-galanya bersih dari syak wasangka apatah lagi tuduhan-tuduhan yang mengatakan terdapat di antara pengadil yang menerima wang dan pemberian hadiah serta pengiriman bunga dari orang-orang yang inginkan filemnya menang pada hari penilaian filem diadakan.

Oleh itu bagi festival filem yang akan datang para pengadil hendaklah dipilih dari mereka yang benar-benar berkelayakan dan benar-benar bebas tanpa mempunyai sebarang kepentingan diri dengan filem atau pelakon yang diadili. Kalau mengambil wartawan sebagai pengadil biarlah ianya seorang wartawan yang benar-benar serius dan banyak menulis kritikan filem secara serius. Jika mengambil sebarang tokoh budaya, biarlah dia seorang budayawan yang faham akan erti hubungan budaya dengan filem kerana budaya di dalam filem bukanlah setakat pada tudung saji atau wau tergantung di dinding atau sebuah ruang tamu yang dihias dengan barang-barang antik tradisi, atau pelakonnya pakai baju kurung Melayu.

Pemberian hadiah mengikut kategori juga biarlah memenuhi fungsi yang betul. Begitu juga pencalonan haruslah dilihat secara hati-hati supaya Art Director tidak bertanding dengan Director of Photography. Kalau misalnya tidak ada filem komedi hendak dipertandingkan atau hanya satu syarikat saja yang menghantar dua atau tiga filem komedi, lebih baik ianya jangan dipertandingkan; supaya tidak seperti kata Hanafiah Samad, “Aziz Satar vs Aziz Satar” melalui pertarungan ‘Da Di Du’ dan ‘Penyamun Tarbus’.

Semua ini menuntut pemerhatian yang wajar dan serius terutama bagi pihak FINAS yang bakal mengambil alih festival yang akan datang, agar tidak nanti EJA mendabik dada – anjurannya lebih berjaya dan baik daripada FINAS. Yang paling penting – janganlah jadikan festival filem itu untuk seronok-seronok saja. Ini adalah melibatkan soal masa depan filem Melayu, filem Malaysia yang sewajarnya dilihat secara Malaysia. – (Anna ‘N Hanna).

Leave a comment