Debu Bidadari (2017) : Cito Gelap Dari Kelate

debu

Agak lama juga blok ni dibiarkan bersawang. Sudah hampir beberapa pekan. Kalau blog ini seorang lelaki yang berusia, barangkali tubuh renta lelaki ini sedang tabah bertahan dengan sisa umurnya yang terakhir bagi menghadapi ancaman COVID-19.

Dua konten yang terakhir pun hanyalah tulisan milik orang lain yang ditaip semula dan dimuat naik ke alam digital atas dua alasan; yang pertama – saya sendiri malas menulis panjang, dan yang kedua – sebagai satu refleksi sejarah dalam hal-hal seputar industri filem negara.

Tak banyak yang berubah.

Saya yang pada mulanya mencari upah berkerja dengan sebuah NGO seni budaya bergengsi di tengah jantung Kuala Lumpur bertukar haluan dengan memilih untuk menabur bakti kepada anak bangsa.

***

Syafiq Ghazali antara penulis muda yang sering disebut-sebut sekarang. Senafas dengan Johan Radzi dan Azrin Fauzi. Cerpen-cerpennya sebelum ini boleh dibaca melalui antologi cerpen Superfiksyen terbitan Moka Mocha Ink, kompilasi cerpen terbitan ITBM, laman Cukaria (yang sudah menempa batu nisannya kini) dan akhbar Selangor Kini. Yang berminat dengan novel boleh baca Jahat dan Kiub. Kedua-duanya terbitan Fixi.

Cerpen-cerpen ini seperti diakui oleh penulisnya, berlatarkan Kelantan. Di kala penulis sedia membangunkan Kuala Lumpur dan kekotorannya dalam karya mereka, Syafiq memilih negeri Serambi Mekah ini.

Boleh dikatakan hampir kesemua cerpen ini saya suka. Dari seorang lelaki yang membalas dendam atas kematian kawannya, penghijrahan seorang wanita yang tidak selesa dengan buah dadanya sendiri, cinta monyet yang bertepuk sebelah tangan, penyiasatan detektif menyelesaikan kes pembunuhan ke intrig satu kejadian misteri di bilik hotel.

Gelap bukan secara harfiahnya, tapi gelap kerana banyak yang berkisarkan tentang hasrat yang tak terlunas, dendam yang tak berbayar dan cerita-cerita yang luar biasa.

Ada beberapa cerpen yang saya rasa macam ada pengaruh Murakami yang kuat terutamanya cerpen Eksposisi (antara cerpen kegemaran).

Satu hal lagi yang menarik buat saya. Sama ada ia disengajakan atau tidak, ada du atau tiga cerpen di dalam buku ini, di mana ada satu dialog yang diulang oleh wataknya, “Aku mahu rasa apa yang aku rasa”. Lebih kurang begitu lah.

Hurm.

Tak pasti ini masih lagi menjadi resensi buku atau sebuah diari. Apa-apa sahaja lah. 

p/s: Mungkin akan dikemaskini kalau buah fikiran saya kembali jernih dan teratur

Leave a comment