Sinema Yang Tidak Berpenghujung

13_1_shirin_big_1000_420_c1Screenshot dari filem Shirin (2008) arahan Abbas Kiarostami

 

Esei ini ditulis Abbas Kiarostami sempena ulang tahun sinema yang ke-100 dan diedarkan pada Disember 1995 di Odeon Theatre, Paris. 

***

Mulanya saya fikirkan kita dapat menonton imej di layar dengan jelas apabila pawagam gelap gelita. Rupa-rupanya ada jawapan lain yang saya temui apabila saya memerhati telatah penonton yang selesa di kerusi masing-masing: kegelapan pawagam telah memberikan ruang untuk setiap penonton menjarakkan diri mereka dari penonton yang lain dan bersendirian.

Di ruang itu, dengan yang lain, mereka bersama. Dengan yang lain juga, mereka terpisah.

Melalui layaran sinema, penonton mencipta dunia masing-masing melalui pengalaman yang ada. 

Sebagai pengarah filem, saya amat terhutang budi dengan proses yang dilalui ini, kerana, kalau tidak, filem dan penonton akan mati. Sebuah cerita yang sempurna tidak akan terlepas dari kesilapan besar ini; ia terlalu sempurna untuk penonton terlibat sama (dalam cerita tersebut). 

Satu fakta yang perlu kita terima adalah filem yang tidak ada cerita sukar untuk diterima penonton, walaupun hakikatnya sesebuah cerita itu sememangnya perlu ada jurang atau ruang kosong seperti teka silang kata – kekosongan yang bergantung kepada penonton untuk mengisinya. Seperti misteri yang cuba diselesaikan detektif di dalam filem thriller. 

Saya percaya kepada sinema yang memberikan tanggungjawab dan ruang yang lebih untuk digalas penonton. Sinema yang separa siap, yang hanya akan selesai setelah mendapat tenaga kreatifnya dari penonton, akan melahirkan jutaan filem yang lain. Ia milik penonton dan dunia yang mereka diami. 

Dunia di dalam setiap karya, di dalam setiap filem akan melahirkan kebenaran baharu. Di dalam ruang gelap, ruang terbuka kepada semua untuk bermimpi dan berekspresi tanpa batasan. Seni hanya akan berjaya untuk mengubah sesuatu atau membawa idea baharu sekiranya khalayak yang ditujukan, iaitu penonton diberikan kebebasan kreativiti. 

Di antara dunia ciptaan dan ideal yang menghubungkan seniman dan khalayaknya, wujud satu hubungan yang kekal dan utuh. Seni membenarkan kita untuk menciptakan kebenaran masing-masing menurut kehendak dan kriteria tersendiri; dan juga membolehkan kita menolak kebenaran yang dipaksakan ke atas diri. Ia juga memberi peluang kepada seniman dan penonton untuk mendapat gambaran yang lebih tepat, yang tersembunyi di balik setiap ghairah dan pasrah masyarakat. Komitmen sang pengarah untuk mencuba mengubah kehidupan seharian hanya akan terlaksana melalui keterlibatan penonton. Penonton boleh terlibat secara aktif jika dan hanya jika filem tersebut menzahirkan dunia yang penuh kontradiksi dan konflik serta boleh difahami. Rumusnya sederhana: kita percaya wujudnya dunia nyata di luar sana tapi tidak sepenuhnya adil. 

Dunia ini bukanlah hasil jelmaan fikiran kita dan ia tidaklah sesuai untuk kita pun, tetapi melalui teknik sinematik, kita mencipta dunia ini yang jauh lebih baik dan adil dari dunia yang sedia ada. Ini tidaklah bermakna dunia kita memberikan ilusi imej keadilan, namun sebaliknya, ia menyerlahkan kesenjangan yang ada di antara dunia ideal dan dunia nyata. Di dalam dunia ini, kita bercakap tentang harapan, nestapa dan ghairah hidup. 

Sinema adalah jendela kepada mimpi-mimpi kita yang melaluinya, kita mengenal diri. Di atas pengetahuan dan semangat yang kita punyai, kita mengubah kehidupan agar sesuai dengan apa yang diimpikan. 

Kerusi di dalam pawagam merupakan alat bantu yang lebih bagus dari kerusi di dalam sesi terapi. Berada di pawagam membuatkan kita dibiarkan berseorangan dan barangkali ini mungkin satu-satunya tempat yang kita berasa terikat dan bebas dengan orang lain dalam masa yang sama: dan inilah keajaiban sinema. 

Untuk sinema pada masa hadapan, kepercayaan kepada penonton sebagai satu elemen yang konstruktif dan bijaksana adalah satu hal yang tidak terelakkan. Untuk menggapai hal ini, kita seharusnya berganjak dari konsep penonton sebagai pemilik cerita yang mutlak. Pengarah juga harus menjadi penonton untuk filemnya sendiri. 

Sudah lebih seratus tahun sinema dimiliki oleh pengarah filem. Marilah kita berdoa supaya ia juga menjadi milik penonton pada abad seterusnya. 

***

Diterjemahkan dari pautan asal di sini

Leave a comment