Satu Wawancara Dengan Bela Tarr: Kenapa ‘The Turin Horse’ Filem Terakhir Beliau

The Turin Horse (2011)

Ianya satu tindakan yang kurang tepat untuk kita mengatakan bahawa dengan keluarnya filem Bela Tarr yang terbaru, ‘The Turin Horse’ sebagai satu tanda penghujung kerjaya pengarah dari Hungary ini. Yang sebenarnya, Tarr sudah mencapai takah terakhir pada satu peringkat dan permulaan pada suatu yang baru. Dengan terbitnya filem beliau yang ke-sepuluh, Tarr menyatakan dengan jelas yang dia sudah selesai membikin filem; dan sekarang, dia mahu menumpukan tenaganya untuk mengajar yang lain teknik membikin filem.

Sesiapa yang sudah biasa dengan karya Tarr sejak tahun 1980, dari filem revisionis noir ‘Damnation’ hingga lah kepada filem legenda tentang babad sejarah sebuah pekan kecil iaitu ‘Satantango’ terus dapat menangkap ciri-ciri kebiasaan dalam ‘The Turin Horse’, yang  dipenuhi dengan gaya beliau: kerja kamera yang meditatif, fotografi hitam-putih yang tepu, dan satu kerja eksperimental yang lari dari naratif yang tidak ada selok-beloknya. Seperti kisah seorang lelaki, anak perempuannya dan kuda kesayangan mereka di kawasan desa suram yang menggambarkan titik akhir wujudiah, filem ini pastilah merupakan satu alamat kepada kemuncak kerjaya Tarr – meskipun dia sendiri tak akan mengatakannya.

Dalam satu perbualan telefon dari Hungary, Tarr – dengan caranya yang bersahaja – menerangkan kenapa dia memilih ‘The Turin Horse’ sebagai projek terakhir beliau, refleksi atas evolusi kerjayanya yang tersendiri dan memberi petunjuk akan apa yang berlaku selepas ini.

Sementara kerja anda sepanjang 20 tahun ini, anda hanya membikin beberapa buah filem feature, dan masih kekal kritikal. Kenapa berhenti membikin filem ketika anda sendiri masih layak mengarah?

Anda benar sekali. Pengarah filem adalah kerja borjuis yang menyeronokkan. Tapi saya dah tak nak melakukannya. Saya bukan betul-betul seorang pengarah filem. Saya melakukannya untuk masyarakat dan untuk mengatakan sesuatu tentang hidup mereka. Sepanjang 34 tahun mengarah, saya sudah mengatakan segalanya mengatakan apa yang saya mahu katakan. Saya boleh mengulanginya, bahkan lebih lagi, tapi saya tak nak membosankan anda. Saya tak nak mengulang-ulang filem-filem saya. Itu sahaja.

Anda masih mengingat bila anda mahu berhenti (mengarah)?

Saya rasa pada tahun 2008, bila saya diwawancara oleh Cahiers du Cinema, dan saya dapat merasakan yang saya hanya boleh mengarah satu filem sahaja lagi, ‘The Turin Horse’ dan kemudian berhenti.

Jadi sewaktu anda mengarahkan filem ‘The Turin Horse’, anda memikirkannya sebagai filem terakhir anda?

Ya. Semua orang tahu. Semua krew tahu ini yang terakhir. Tentunya mereka mahu meyakinkan saya untuk terus mengarah filem, tapi saya tak boleh. Ini adalah keputusan peribadi saya. Saya tak boleh cakap benda apa yang saya sudah cakap.

Bila orang bercakap tentang gaya kepengarahan anda, mereka selalu merujuk kepada filem ‘Damnation’: penggunaan tona hitam putih, naratif yang bergerak perlahan, long take, dan sebagainya lagi. Tapi versi televisyen ‘Macbeth’ anda, di-shot dua kali, dan filem ekspresionis berwarna-warni ‘Almanac of Fall’ menunjukkan sisi anda yang lebih luas, seperti filem debut anda juga, sebuah drama sosial-realis ‘Family Nest’.

Pada permulaan kerjaya saya, banyak benda yang saya marahkan. Saya cuma mahu memberitahu dunia di luar sana macam mana gila babinya masyarakat sekarang ini. Dan itu adalah awalnya. Kemudian, saya mulai memahami bahawa masalah ini bukan masalah sosial semata; ianya lebih dalam. Saya fikir ianya ontologikal. Ianya sangat sangat komplikated, dan bila saya lebih faham dan faham, bila saya mendekati orang di sekeliling saya…akhirnya, saya memahami yang masalah ini bukan sekadar ontologikal. Ianya kosmik. Dunia ni dah tak boleh nak diperbetulkan lagi. Hakikat itu yang terpaksa saya fahami, dan sebab itu gayanya kena turut sama berubah. Bila dah mula bergerak ke hadapan, saya dah tak boleh menoleh ke belakang lagi. Gaya makin lama makin tertumpu, dan akhirnya, ianya menjadi sangat mudah, sangat murni. Dan pengalaman itu menarik buat saya, mencari sesuatu titik demi titik.

Itu menjelaskan tentang kenapa anda beralih dari memberikan tumpuan ekslusif kepada karakter. Hampir keseluruhan filem ‘Family Nest’ dipenuhi dengan close up, tapi filem anda seterusnya lebih menekankan persekitaran sekeliling.

Tapi jika anda menonton kesemua filem saya, anda boleh lihat ini adalah dari air tangan orang yang sama. Anda boleh lihat monolog panjang dalam ‘Family Nest,’ sudah lama ada.

Shot pembukaan ‘The Turin Horse’ telah dibincangkan oleh ramai pengkritik dengan panjang lebar. Kamera mengikuti gerak penunggang dan kudanya dari pelbagai perspektif, sambil disulam dengan momentum yang hebat. Bagaimana anda boleh tergerak hati untuk menggunakan sekuens pengenalan ini?

Anda kena faham, bila anda membikin filem, anda perlu memperkenalkan kesemuanya. Dalam cerita ini, ianya adalah penunggang kuda dan kudanya. Itu sahaja, anda tahu?

Tetapi dalam masa yang sama filem ini adalah cerita apokrifal tentang simpati Nietzsche terhadap kuda yang telah dipukul dengan teruk. Ianya kaya dengan dialog yang sedikit dan kitaran yang berulang. Ianya menuntut sebuah interpretrasi, jadi alang-alang kenapa tak melakukannya?

Jangan lah sofistikated sangat. Dengar sahaja suara hati anda dan percaya apa yang anda lihat. Itu sahaja. Bila saya membikin filem, saya tahu semua benda sebelum saya mula mengarah. Macam itu lah. Saya mempunyai visi yang kukuh pada kesemua filem saya. Dengan jelas, saya tahu apa yang perlu saya buat dan bagaimana.

Dalam ‘Damnation’, seorang karakter mengatakan yang “semua cerita adalah penyepaian.” ‘The Turin Horse’ semacam satu manifestasi kenyataan mutlak kepada intipati tersebut.

Saya tak peduli tentang cerita. Tak pernah pun. Semua cerita adalah sama. Kita tak ada cerita baru. Cuma mengulangi benda yang sama. Tak terlintas di benak saya yang sekiranya kita nak membikin filem kita kena fikirkan tentang cerita. Filem bukannnya cerita. Banyaknya adalah gambar, bunyi dan emosi. Cerita adalah untuk menyembunyikan sesuatu. Sebagai contoh, dengan ‘Damnation’, kalau anda profesional di studio Hollywood, anda boleh ceritakan kisah ini dalam masa 20 minit. Senang. Kenapa saya pula mengambil masa yang lama? Sebab saya tak nak tunjukkan anda cerita. Saya mahu tunjukkan ke(hidup)an lelaki ini.

Anda tidak terlalu menunjuk ajar para pelakon anda.

Bila saya dalam scene, saya cipta satu situasi yang nyata dan saya tahu bagaimana mereka memberi reaksi. Anda perlu tahu bagaimana reaksi mereka kerana mereka perlu berada dalam situasi. Anda boleh dapat emosi yang nyata – marah, gembira – dari pandangan mereka.

Mesti anda bosan bila selalu ditanyakan tentang penggunaan long take dalam filem-filem anda….

Ya, naik gila saya dibuatnya. Berbuih mulut saya menjawabnya. Long take ni sama sahaja macam short take. Bezanya bila anda mengeditnya di kamera. Anda letakkan syot dekat dengan syot luas sekali. Anda ada ketegangan yang istimewa antara para pelakon dengan kamera. Sebab itu saya sukakannya.

Kamera digital membolehkan take yang lebih panjang. Adakah anda pernah mempertimbangkan untuk mengarah dalam format digital?

Ya, sudah tentu, tapi mereka tak patut berpura-pura yang ianya adalah sinema. Mereka boleh kata ini adalah teknologi baru. Dan teknologi baru perlu ada bahasa baru. Itu yang saya nak, bila anda ciptakan bahasa baru. Jangan kata ini adalah sinema. Video perlu mencari bahasa baru kerana ianya teknologi baru.

Apa yang anda rasa bila mereka melihat filem anda pada platform yang berbeza selain daripada di layar lebar?

Saya bencikannya. Sebagai contoh, saya terdengar seseorang menonton ‘Satantango’ di telefon bimbitnya. Ianya mengecewakan saya. Filem dibikin dan di-shot untuk dipertontonkan di layar lebar.

Filem-filem anda selalunya sunyi, seperti pengalaman yang meditatif. Adakah memang seperti itu rasanya di set penggambaran?

Tak! Tak ada satupun yang meditatif. Anda perlu genggam segalanya. Membuat filem adalah kerja yang melelahkan dan anda selalu memikirkan tentang cuaca, masa dan keadaan kewangan anda. Anda cuma perlu bergerak ke hadapan. Bila anda tahu apa yang anda mahu, anda tak akan berhenti selagi anda dapat apa yang anda mahu.

Adakah anda akan mengajarkan pengalaman seperti ini di dalam kelas?

Saya ada bina sebuah sekolah filem di Croatia. Bila saya mengajar, anak-anak murid saya, orang muda membikin filem mereka sendiri. Saya cuma membantu mereka membangunkan sesuatu dalam diri mereka yang mana mungkin mereka sendiri tidak punya keazaman yang teguh untuk menyedarinya, atau tidak tahu bagaimana mereka boleh mengekspresikan diri mereka. Saya hanya mendorong mereka, lagi dan lagi untuk mencari bahasa mereka sendiri. Saya  tak pernah mengajar mereka bahasa filem saya sendiri kerana setiap pengarah filem punya bahasa mereka yang berbeza, budaya yang berbeza, latar belakang yang berbeza, sejarah yang berbeza, dan belanjawan yang berbeza. Kita tak boleh nak bandingkan perkara-perkara macam ni. Tapi saya boleh mendorong mereka untuk mereka mencipta sesuatu yang bersifat peribadi. Saya akan menolong mereka sekiranya mereka mempunyai sebarang keraguan.

******

Diterjemahkan dari wawancara Eric Kohn untuk Indiewire.

Leave a comment